Ahad, 5 Mei 2024 | 7:04pm
Hannah menegaskan KBS mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap atlet.
Hannah menegaskan KBS mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap atlet.

Hannah gesa polis buru individu serang Faisal hingga dapat

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mengambil tindakan segera ke atas individu yang menyerang pemain kebangsaan, Faisal Halim dengan asid dalam satu insiden yang berlaku, hari ini.

Menerusi satu ciapan di plaform X, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut itu turut mengecam serangan itu yang disifatkan sebagai satu keganasan kepada atlet.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap atlet. Tiada keganasan dalam sukan.

"Saya meminta PDRM untuk segera mengambil tindakan terhadap pelaku," kata Hannah.

Terdahulu, tidak sampai seminggu selepas insiden pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun, satu lagi insiden mengejutkan terjadi membabitkan Faisal yang juga pemenang Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu.

Menerusi maklumat dan gambar yang tular di laman media sosial ketika ini, pemain Selangor itu disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di ibu negara.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana tahap kecederaannya namun berdasarkan gambar yang tular, dia dilihat mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Khamis lalu, Akhyar, 25, yang baru sahaja keluar dari kereta dipukul dengan senjata dipercayai cota di kepala dan badan oleh suspek yang tidak dikenali.

Suspek turut merampas dompet dan telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri.

Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

Berita Harian X