Sabtu, 4 Mei 2024 | 9:44pm
Zainal Abidin memuji kepimpinan Hamidin apabila menunjukkan perubahan positif dalam masa singkat.
Zainal Abidin memuji kepimpinan Hamidin apabila menunjukkan perubahan positif dalam masa singkat.

Hamidin wajar dikekalkan, bola sepak negara tunjuk perubahan positif - Zainal

KUALA LUMPUR: Ketika jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang hebat diperkatakan, legenda bola sepak negara Datuk Zainal Abidin Hassan merasakan Datuk Hamidin Mohd Amin wajar terus diberi kepercayaan menduduki kerusi nombor satu badan induk itu.

Bekas penyerang berbisa skuad Harimau Malaya era 80-an dan 90-an itu berkata daripada konteks kemajuan bola sepak, pasukan negara menunjukkan perubahan positif yang mendadak meskipun dalam tempoh singkat sejak Hamidin memimpin FAM bermula Julai 2018.

Menurutnya kejayaan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon layak secara merit ke Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas dan penampilan kedua berturut-turut skuad Bawah 23 Tahun (B-23) di pentas Piala Asia B-23 ialah antara bukti kemajuan yang dicapai di bawah era kepimpinan Hamidin.

"Kalau ada yang mahukan perubahan itu saya tidak tahu, tetapi pandangan saya setakat ini ramai penyokong amat berbangga dengan kedudukan Malaysia. Kita layak secara merit ke Piala Asia lepas lebih 40 tahun dan skuad B-23 konsisten ke Piala Asia B-23 semasa FAM di bawah pimpinan beliau (Hamidin).

"Selepas berpuluh tahun (prestasi pasukan negara) akhirnya meningkat tiba-tiba ada yang mahu lebih mendadak, tak nak ikut kemajuan yang elok. Jadi tak adil untuk mengetepikan beliau (Hamidin) kerana bagi saya dari segi peningkatan bola sepak, beliau berjaya setakat ini," katanya ketika dihubungi di sini.

Pada masa sama, bekas pemain Selangor dan Pahang berusia 62 tahun itu menganggap kredibiliti Hamidin turut dipandang di peringkat global selepas dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027.

Hamidin juga merupakan seorang daripada Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan AFC.

"Ini bermakna pemimpin bola sepak dunia juga menghargai beliau (Hamidin), jadi kenapa kita tidak. Jadi beri beliau peluang untuk terus meningkatkan lebih lagi," katanya yang mengumpul deretan gelaran individu dan kejuaraan bersama kelab serta pasukan negara di peringkat domestik serta antarabangsa.

Zainal juga antara tujuh legenda negara yang mendapat pengiktirafan disenarai dalam Kelab Abad FIFA, khas untuk pemain mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas.

Sebelum ini, terdapat gesaan supaya Hamidin meletakkan jawatan kerana didakwa prestasinya sebagai presiden tidak begitu memuaskan selepas timbul isu 'surat layang' yang memburukkan kepimpinan dan pengurusan FAM hujung Mac lepas.

Baru-baru ini, media tempatan mengaitkan beberapa nama dengan jawatan presiden FAM antaranya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, dengan kedua-duanya memiliki pengalaman di FAM.

Turut dikaitkan dengan jawatan tertinggi FAM itu ialah dua individu dari dunia korporat, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) Datuk Kapten Izham Ismail.

Khairy dan Tengku Zafrul masing-masing sudah memberi reaksi seakan tidak berminat dengan jawatan itu kerana komitmen terhadap tugasan dan tanggungjawab ketika ini sementara Mohamad Salim enggan mengulas mengenai perkara itu.

Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 dijadual berlangsung tahun depan. - BERNAMA

Berita Harian X