Sabtu, 4 Mei 2024 | 1:30pm
Akhyar mengalami kecederaan akibat dipukul dalam kejadian samun. - Foto media sosial
Akhyar mengalami kecederaan akibat dipukul dalam kejadian samun. - Foto media sosial

Tommy terkejut Akhyar disamun

KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengakui terkejut dengan kejadian samun yang menimpa pemainnya, Akhyar Rashid malam kelmarin.

Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, lebih memeritkan pemain sayap kiri itu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta kaki sebelum menerima enam jahitan.

Bagaimanapun jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' meletakkan harapan agar pemain Harimau Malaya itu cepat sembuh sebelum pertemuan dengan Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, 11 Mei ini.

Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner. - Foto fail NSTP
Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner. - Foto fail NSTP

Ini kerana pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) itu adalah tonggak penting buat pasukannya dalam misi untuk memburu kemenangan dalam pertemuan sulung itu.

"Tapi saya tidak mahu mengulas lebih lanjut terhadap apa yang berlaku itu kerana mahu memberikan ruang sepenuhnya kepada pemain itu kembali sembuh serta lebih tenang.

"Tapi besar harapan kami agar dia (Akhyar) cepat sembuh dan kembali bersama pasukan sebelum aksi pembukaan hujung minggu depan," kata Tommy ketika ditemui di SSMZA selepas aksi pramusim menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Terdahulu pada malam Khamis lalu, pemain berusia 25 tahun itu disamun dua lelaki bertopeng memakai jaket 'hoodie' serta bersenjata besi boleh laras berhampiran kondominium kediamannya dekat bandar Kuala Terengganu yang bertindak memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan selain kerugian hampir RM5,000.

Berita Harian X