Jumaat, 3 Mei 2024 | 6:31pm
Aksi pemain Pahang Rangers (kiri) dan Thai Son Bac pada perlawanan persahabatan antarabangsa futsal empat penjuru di Stadium Tertutup SUKPA. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Aksi pemain Pahang Rangers (kiri) dan Thai Son Bac pada perlawanan persahabatan antarabangsa futsal empat penjuru di Stadium Tertutup SUKPA. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Pahang Rangers jinakkan Thai Son Bac

KUANTAN: Pahang Rangers FC dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Thai Son Bac perlawanan persahabatan antarabangsa futsal empat penjuru di Stadium Tertutup SUKPA, di sini semalam.

Turun di hadapan penyokong sendiri, skuad bimbingan Gerard Casas tidak perlu menunggu lama untuk menghasilkan jaringan menerusi penyerang import kelahiran Brazil, Felipe de Souza pada minit keempat permainan.

Tersentak dengan gol awal itu, pelawat yang membariskan pemain muda mengatur gerakan ke kubu tuan rumah namun mereka gagal menewaskan penjaga gol, Zainulzahin Sinuan.

Pahang Rangers mendapat beberapa peluang menambah jaringan menerusi Souza, Hamdin Zarif Mahmun, Harith Naem Jaineh dan Murilo Saad, namun percubaan mereka berjaya dikawal penjaga gol pelawat, Pham Van Tu.

Usaha anak buah Casas untuk menambah jaringan tidak berhasil dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan 1-0 hingga tamat perlawanan.

Bagi Casas, walaupun hanya mampu mencatat kemenangan tipis 1-0, dia tetap berpuas hati dapat menjinakkan lawan yang tidak kurang hebatnya.

"Selepas berehat panjang, pemain Pahang Rangers tetap memiliki sentuhan berbisa selaku juara berganda musim lalu.

"Persembahan yang semakin kemas diharap dapat diterjemahkan sepanjang perlawanan persahabatan kali ini.

"Walaupun hanya perlawanan persahabatan, saya dapat melihat kesungguhan yang dipamerkan pemain," kata Casas yang membawa misi mengekalkan kejuaraan Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) musim ini.

Skuad Pahang Rangers akan berdepan Bintang Timur Surabaya pada jam 6 petang esok, diikuti Thai Son Bac bertemu Sabah FA pada jam 9.30 malam.

Berita Harian X