Jumaat, 3 Mei 2024 | 6:12pm
Penyerang utama KDA FC, Milos Gordic (kiri) meraikan jaringan pada aksi pra-musim menentang Penang FC, Rabu lalu. - Foto KDA FC
Penyerang utama KDA FC, Milos Gordic (kiri) meraikan jaringan pada aksi pra-musim menentang Penang FC, Rabu lalu. - Foto KDA FC

Nafuzi mahu Gordic terus menyengat

ALOR SETAR: Empat gol jaringan penyerang utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Milos Gordic pada saingan pra-musim setakat ini membuktikan kesungguhannya mengasah ketajaman menjelang saingan Liga Super yang akan bermula minggu depan.

Dua gol dihasilkannya untuk Sang Kenari pada aksi menentang Penang FC Rabu lalu dan dua lagi pada aksi menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 24 April lalu.

Ketajaman ditunjukkannya memberi ilham terbaik buat pengendali KDA FC, Nafuzi Zain yang kini sedang melakukan percaturan dalam mempersiapkan pasukan pada musim ini.

Menurut Nafuzi, perkembangan ditunjukkan penyerang import tinggi lampai itu bertambah baik.

"Saya berharap Gordic kekal konsisten bagi membantu meningkatkan lagi prestasi pasukan sebelum kami memulakan aksi Liga Super pada 11 Mei depan.

"Bagaimanapun dia memerlukan masa untuk mencapai tahap terbaiknya disebabkan pelbagai faktor seperti cuaca dan suasana permainan baharu di sini.

"Namun saya tetap berpuas hati dengan perkembangan serta peningkatan yang ditunjukkannya setakat ini," kata Nafuzi.

Sementara itu KDA FC bakal melengkapkan saingan pra-musim dengan aksi terakhir menentang Melaka FC di Stadium Darul Aman malam esok.

Menurut media rasmi Sang Kenari, pihaknya menyeru penyokong Kedah untuk hadir beramai-ramai memberi sokongan padu pada aksi terakhir pra-musim yang menawarkan potongan 50 peratus daripada harga asal tiket asal.

Cabutan bertuah turut menanti penyokong KDA FC di Stadium Darul Aman malam esok.

"Sebagai penghargaan kepada semua penyokong yang tidak putus-putus menyokong pasukan Sang Kenari, pihak pengurusan menawarkan harga tiket dengan diskaun 50 peratus daripada harga asal untuk perlawanan pra-musim menentang Melaka FC Sabtu ini.

"Cabutan bertuah turut diadakan, dengan hadiah utama sebuah motosikal dan juga 10 tiket grandstand Liga Super di Stadium Darul Aman 24 Mei nanti untuk dimenangi sebagai hadiah saguhati. Pembeli boleh mendapatkan tiket secara online di KDAtix dan secara fizikal pada hari perlawanan," kata KDA FC.

Berita Harian X