Jumaat, 3 Mei 2024 | 10:04am
Pemain Bayer Leverkusen meraikan kemenangan 2-0 ke atas AS Roma pada separuh akhir pertama Liga Europa di Stadio Olimpico, Rome awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Bayer Leverkusen meraikan kemenangan 2-0 ke atas AS Roma pada separuh akhir pertama Liga Europa di Stadio Olimpico, Rome awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Leverkusen selangkah ke final Liga Europa

ROME: Bayer Leverkusen hanya sebelah kaki ke final Liga Europa selepas menang 2-0 di AS Roma awal pagi tadi untuk melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 47 perlawanan.

Gol pada setiap babak menerusi Florian Wirtz dan Robert Andrich memastikan kemenangan buat anak buah Xabi Alonso di ibu negara Itali itu dan memberikan juara Bundesliga itu peluang besar untuk layak ke final di Dublin hujung bulan ini.

Leverkusen akan bertemu sama ada Atalanta atau Marseille di Ireland sekiranya mereka muncul pemenang di Jerman minggu depan dan berdasarkan persembahan mereka di Rome, mereka menjadi pilihan utama untuk merangkul trofi pertama di Eropah sejak Piala UEFA yang lama pada 1988.

Pasukan kendalian Alonso memerlukan beberapa gol saat akhir untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam beberapa minggu terakhir tetapi mereka tidak memerlukan penamat mendebarkan itu di ibu negara Itali ketika keunggulan sebenar Leverkusen menjadi tontonan.

"Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol ketiga tetapi mereka juga ada peluang baik untuk mengurangkaan defisit pada hujung aksi. Kami gembira dengan keputusan ini," kata Alonso kepada wartawan.

Penjaga gol AS Roma, Mile Svilar sekadar mampu melihat bola tendangan pemain Bayer Leverkusen, Robert Andrich menerjah jaring pada separuh akhir pertama Liga Europa di Stadio Olimpico, Rome awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penjaga gol AS Roma, Mile Svilar sekadar mampu melihat bola tendangan pemain Bayer Leverkusen, Robert Andrich menerjah jaring pada separuh akhir pertama Liga Europa di Stadio Olimpico, Rome awal pagi tadi. – Foto REUTERS

"Kami bekerja keras, beraksi dengan baik dan amat berdisiplin. Bagi kami ia terlalu bermakna tetapi masih banyak yang perlu kami lakukan."

Roma berdepan tugas getir jika mereka mahu layak ke final Eropah kali ketiga dalam tempoh tiga tahun selepas jarang sekali mencabar pintu gol dikawal Matej Kovar selepas rembatan Romelu Lukaku terkena palang pada awal aksi.

Namun pasukan kendalian Daniele De Rossi mungkin mendapat talian hayat jika pemain gantian Tammy Abraham tidak menanduk melepasi palang di depan pintu gol yang ternganga pada masa kecederaan.

"Kami beraksi menentang satu pasukan yang bagus dan jika anda ketinggalan berdepan mereka, ia menjadi lebih sukar," kata De Rossi kepada Sky.

"Kami berjaya menjaringkan gol awal dalam perlawanan sebelum ini dan semuanya menyebelahi kami. Katakan ia agak berbeza malam ini."

Roma turut bergelut untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan menerusi kempen Serie A manakala Leverkusen dalam landasan untuk merangkul treble Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Europa. – AFP

Berita Harian X