Khamis, 2 Mei 2024 | 3:01pm
FAM mengesahkan FIFA sudah meluluskan penggunaan VAR di Malaysia. - Foto FB FAM
FAM mengesahkan FIFA sudah meluluskan penggunaan VAR di Malaysia. - Foto FB FAM

FIFA lulus FAM guna VAR

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) secara rasminya mengiktiraf dan meluluskan penggunaan video bantuan pengadil (VAR) dalam Liga Malaysia (Liga M) bermula musim 2024-2025.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram menjelaskan, ia menjadi satu kebanggaan kepada negara kerana Malaysia antara 68 negara diberikan kelulusan oleh FIFA untuk penggunaan teknologi itu.

Sivasundaram berkata, delegasi FIFA yang hadir ke negara ini pada April lalu iaitu Bhaveshan Moorghan dan instruktur VAR FIFA, Igor Rodajcic melakukan proses penilaian dan ujian terhadap tahap kemahiran pengadil serta keberkesanan VAR.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM memaklumkan, sepanjang seminar VAR dijalankan selama enam hari itu, sebanyak enam perlawanan percubaan dilakukan oleh FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Katanya, MFL juga menyediakan lapan perlawanan pramusim membabitkan pasukan Liga Super yang mana ia memberi peluang kepada pengadil untuk terus memahirkan diri dengan teknologi itu sebelum menghadapi musim Liga Super 2024-2025.

"Bhaveshan melalui laporannya memuji tahap persiapan dan keberadaan tahap kemahiran yang ada pada pengadil VAR di negara ini, sekali gus membawa kepada kelulusan FIFA untuk penggunaan teknologi itu dalam saingan Liga Malaysia 2024-2025 yang akan bermula 10 Mei ini," katanya.

Mengimbas kembali permulaan VAR di negara ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Februari 2023 mencetuskan idea dan inisiatif untuk memperkenalkan VAR di Liga Malaysia bermula musim 2024-2025 dan ia mendapat sokongan padu daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM dan kepimpinan tertinggi MFL.

"Hamidin kemudian bertemu Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina ketika beliau menghadiri Kongres FIFA ke-73 di Kigali, Rwanda pada 16 Mac 2023 bagi membincangkan secara lebih lanjut mengenai perkara membabitkan teknologi VAR.

"Langkah pelaksanaan VAR di Malaysia dimulakan pada April 2023 dengan lawatan delegasi dari FIFA untuk memberi taklimat mengenai protokol VAR dan prosedur pelaksanaannya," katanya.

FAM memulakan latihan pengadil VAR pada Jun 2023 hingga April 2024 menerusi tiga fasa latihan yang mana FIFA mentauliahkan 22 pengadil sebagai pengadil VAR, 20 penolong pengadil sebagai AVAR dan sembilan pengadil sebagai Replay Operator.

FAM turut melatih 17 penolong pengadil untuk memahami protokol VAR dan akan dilantik sebagai penolong pengadil satu dan dua.

Selain itu, Sivasundaram berkata, sebagai langkah jangka panjang, FAM akan meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran VAR dan akan membuat post-mortem perlawanan sebagai langkah pengukuhan dan pemurnian pendidikan VAR.

"FAM juga akan memulakan latihan VAR fasa kedua untuk menambahkan lagi bilangan pengadil VAR. Usaha ini akan dimulakan dalam masa terdekat ini," katanya.

Berita Harian X