Rabu, 1 Mei 2024 | 4:49pm
Penyerang Bayern Munich, Harry Kane meraikan jaringan ketika aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid di Allianz Arena, Munich. - Foto AFP
Penyerang Bayern Munich, Harry Kane meraikan jaringan ketika aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid di Allianz Arena, Munich. - Foto AFP

Kane mahu julang trofi sulungnya di Bayern

MUNICH: Harry Kane berkata dia bersedia mengharungi cabaran bersama Bayern Munich dalam usaha memburu trofi major pertama dalam kariernya.

Penyerang England itu menjaringkan gol Liga Juara-Juara Eropah kelapannya musim ini ketika seri 2-2 menentang Real Madrid di peringkat separuh akhir pertama.

Vinicius Jr membuka jaringan pada minit ke-24 untuk Real tetapi tuan rumah meledak dua kali dalam tempoh empat minit di awal babak kedua menerusi Leroy Sane dan penalti Kane, sebelum sepakan percuma Vinicius menyamakan kedudukan.

Kane, yang menyertai Bayern dari Tottenham Hotspur pada Ogos tahun lalu, menjaringkan gol ke-43nya dalam 43 perlawanan untuk kelab gergasi Bundesliga itu musim ini.

Bagaimanapun kejuaraan Bundesliga 11 musim berturut-turut Bayern disekat oleh Bayer Leverkusen musim ini, dan kelab baharu Kane itu tersingkir daripada Piala Jerman.

Peluang terakhir Kane untuk merasai nikmat menjulang piala pertamanya kini hanya tinggal dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

"Apa yang kami perjuangkan tahun ini adalah di dalam kejohanan ini. Ia pasti sukar. Kami perlu ke sana (Santiago Bernabeu) dengan penuh keyakinan.

"Ini perlawanan penting. Suasananya menakjubkan. Inilah sebab utama saya datang ke sini. Saya mahu bermain dalam perlawanan-perlawanan besar begini.

"Saya di sini untuk tempoh yang lama. Bukan setakat setahun. Sudah tentu di awal musim harapannya ialah untuk memenangi banyak trofi. Liga Juara-Juara adalah yang terbesar. Jika memenanginya, ia akan menjadi musim yang hebat," kata Kane.

Bayern akan bertandang ke Madrid untuk aksi timbal balik pada 8 Mei. - REUTERS

Berita Harian X