Rabu, 1 Mei 2024 | 7:13am
Penyerang Real Madrid dari Brazil, Vinicius Junior menewaskan penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer menerusi sepakan penalti bagi gol penyamaan ketika seri 2-2 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Allianz Arena, Munich awal pagi tadi. – Foto AFP

Dua gol Vinicius bantu Real ikat Bayern

MUNICH: Penyerang Real Madrid, Vinicius Junior meledak dua gol, termasuk gol penyamaan menerusi penalti pada minit ke-83, untuk membantu keputusan seri 2-2 di Bayern Munich pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Vinicius meletakkan Real di depan selepas 24 minit tetapi Bayern menyumbat dua gol dalam tempoh empat minit pada babak kedua untuk kembali menguasai perlawanan, Leroy Sane dengan gol penyamaan mengagumkan manakala Harry Kane menyempurnakan tendangan penalti.

Judo Kim Min Jae menjatuhkan Rodrygo dalam kawasan penalti dengan berbaki lapan minit dan Vinicius tampil, mengatasi cemuhan dan jeritan penyokong tuan rumah untuk merembat masuk.

"Dalam pertandingan ini amat penting untuk tidak kalah dan kami berada di sini kerana kami belum kalah," kata Vinicius.

"Saya amat gembira mampu menjaringkan dua gol dan kini kami perlukan satu malam penuh magis di laman sendiri," katanya.

Pemain Bayern Munich, Leroy Sane (dua dari kiri) meledak gol pertama pasukannya menentang Real Madrid pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Allianz Arena, Munich awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Keputusan seri itu meletakkan Madrid dalam keadaan selesa menjelang aksi kedua di Santiago Bernabeu minggu depan.

Bayern, yang mendominasi sebahagian besar perlawanan itu, masih berharap mereka berjaya mara ke final di Wembley awal bulan depan.

"Kami mencipta banyak peluang, tetapi kami gagal menyudahkannya beberapa kali. Mereka hanya ada tiga peluang dan menyempurnakan dua gol," kata pemain tengah Beyern, Konrad Laimer.

Dengan Bayern menguasai, Real lebih banyak bergantung kepada serangan balas dan kesilapan Min Jae membolehkan lawan mendapat sepakan penalti, dengan Vinicius tenang merembat masuk gol penyamaan.

"Kami perlu meneruskan dengan fikiran tenang, berehat hingga minggu depan dan kami akan memberikan segala-galanya untuk meninggalkan Bernabeu dan layak ke London," kata Vinicius, wira Madrid awal pagi tadi. – AFP

Berita Harian X