Selasa, 30 April 2024 | 6:54pm
Penjaga gol berpengalaman, Izham Tarmizi Roslan kembali menyertai pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT). - Foto Sri Pahang FC
Penjaga gol berpengalaman, Izham Tarmizi Roslan kembali menyertai pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT). - Foto Sri Pahang FC

Izham kembali ke pangkuan JDT

KUANTAN: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengesahkan penjaga gol berpengalaman, Izham Tarmizi Roslan kembali ke pangkuan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Sumber kelab itu memaklumkan bahawa Izham tidak lagi bersama skuad Tok Gajah selepas Harimau Selatan mahu mendapatkan semula khidmat penjaga gol itu.

"Memang Izham Tarmizi tidak lagi bersama Sri Pahang kerana JDT mahu mendapatkan khidmatnya untuk saingan Liga M musim baharu ini.

"Berikutan itu, ketua jurulatih (Fandi Ahmad) kini sedang berusaha mencari pengganti Izham Tarmizi kerana Sri Pahang hanya memiliki dua penjaga gol.

"Bagaimanapun, kekosongan itu bukan diisi selaku penjaga gol utama pasukan, sebaliknya penjaga gol ketiga," kata sumber itu.

Khabar angin Izham akan kembali menyarung jersi JDT selepas menyertai Sri Pahang secara pinjaman musim lalu sudah tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Sebelum ini, SPFC mengesahkan khidmat pemain kelahiran Terengganu itu kekal bersama skuad Tok Gajah iaitu dipinjamkan selama semusim seperti yang diumumkan pada musim baharu.

Ketiadaan Izham mengejutkan kerana dia turun beraksi ketika Sri Pahang menentang kelab Singapura, Albirex Niigata pada 16 April lalu.

Namun, pada sesi memperkenalkan pemain dan jersi baharu Sri Pahang di Kuantan, Jumaat lalu, tiada kelibat Izham.

Ketiadaan bekas penjaga gol kebangsaan itu menyaksikan Sri Pahang kini hanya memiliki dua penjaga gol iaitu Zarif Irfan Hashimuddin dan Azfar Arif Mohd Sukri.

Berita Harian X