Selasa, 30 April 2024 | 12:48pm
Saddil Ramdani menjaringkan gol kemenangan Sabah FC pada perlawanan pramusim Piala SMJ menentang Hougang United di Stadium Likas, Kota Kinabalu. - Foto Sabah FC
Saddil Ramdani menjaringkan gol kemenangan Sabah FC pada perlawanan pramusim Piala SMJ menentang Hougang United di Stadium Likas, Kota Kinabalu. - Foto Sabah FC

Sabah tercungap-cungap pada aksi sulung Piala SMJ

KOTA KINABALU: Sabah FC terpaksa menunggu hingga babak kedua untuk mencipta dua gol bagi menewaskan Hougang United FC 2-1 pada perlawanan pramusim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) di Stadium Likas, malam tadi.

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, situasi itu berikutan perlawanan berkenaan bukan sesuatu yang mudah bagi pasukannya selepas tidak bermain secara kompetitif selama kira-kira tiga bulan.

Katanya, sepanjang separuh masa pertama, pemain Sabah FC bergelut mendapatkan rentak permainan, namun berdepan kesukaran untuk menajamkan serangan terutama di hadapan gawang lawan.

Beliau berkata, ketiadaan perlawanan kompetitif sejak kali terakhir bermain menentang Macarthur FC pada perlawanan separuh akhir ZON ASEAN Piala AFC di Australia, 13 Februari lalu memberi kesan terhadap kecergasan pemain.

"Ya (pemain) kepenatan, di mana kita tahu kita tiada perlawanan kompetitif selepas bermain dengan Macarthur pada Februari lalu.

"Ini (malam tadi) adalah perlawanan kita yang pertama, jadi penting untuk kita bina semula kekuatan fizikal, kecergasan dan kombinasi," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi itu, skuad Sang Badak hanya berjaya mencipta gol pertamanya pada minit ke-54 melalui Stuart John Wilkin, namun berjaya disamakan Hougang United pada minit ke-70 melalui penyerangnya, Stjepan Plazonja.

Sabah bagaimanapun bernasib baik dapat menyumbat satu lagi gol menerusi Saddil Ramdani pada minit ke-74, sekali gus memenangi perlawanan pertamanya dalam saingan Piala SMJ menentang kelab dari Singapura itu.

Selepas ini, Kim Swee berharap pasukannya dapat bermain dengan lebih baik ketika perlawanan kedua dan ketiga menentang Kuching City FC esok dan Kuala Lumpur (KL) City FC (Jumaat) sebelum ke perlawanan penentuan 5 Mei.

Berita Harian X