Isnin, 29 April 2024 | 6:49am
Penyerang Manchester City, Erling Haaland meledak masuk gol kedua ketika menentang Nottingham Forest pada aksi Liga Perdana Inggeris di City Ground, Nottingham awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Manchester City, Erling Haaland meledak masuk gol kedua ketika menentang Nottingham Forest pada aksi Liga Perdana Inggeris di City Ground, Nottingham awal pagi tadi. – Foto REUTERS

City terus tekan Arsenal

LONDON: Manchester City kekal bersaing hebat dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal awal pagi tadi, mengatasi cabaran getir Nottingham Forest selepas anak buah Mikel Arteta menewaskan Tottenham beberapa jam terdahulu.

Perebutan kejuaraan tiga penjuru kini menjadi pertarungan antara City kendalian Pep Guardiola dan kelab kendalian Arteta, yang berazam untuk menebus kesilapan pada hujung saingan musim lalu.

Arsenal mengumpul 80 mata dengan hanya berbaki tiga perlawanan, satu mata di depan City, namun juara bertahan itu mempunyai kelebihan beraksi kurang satu perlawanan dan kekal menjadi pilihan utama.

The Gunners mendahului 3-0 di Stadium Tottenham Hotspur malam tadi, berjaya menangani debaran cabaran lewat lawan sebelum menang 3-2 dan seketika melonjak empat mata di depan di puncak carta liga.

City, sekalipun tidak berada pada tahap terbaik mereka, berjaya mengatasi cabaran Forest, yang berjuang untuk menyelamatkan diri mereka di liga utama, menerusi gol sumbangan Josko Gvardiol dan Erling Haaland.

Pertahanan Croatia, Gvardiol membuka tirai jaringan, menanduk masuk sepakan sudut Kevin De Bruyne sejurus selepas setengah jam dan Haaland tenang meledak masuk satu lagi umpanan De Bruyne pada minit ke-71 untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Penjaga gol Nottingham Forest, Matz Sels gagal menyelamatkan tandukan Josko Gvardiol bagi gol pertama Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di City Ground, Nottingham awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penjaga gol Nottingham Forest, Matz Sels gagal menyelamatkan tandukan Josko Gvardiol bagi gol pertama Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di City Ground, Nottingham awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Namun Forest, yang kekal satu mata di atas zon penyingkiran dengan berbaki tiga perlawanan, pasti kesal apabila mensia-siakan banyak peluang termasuk dua peluang keemasan daripada penyerang Chris Wood.

Guardiola lega pasukannya menang namun memberi amaran kesilapan dalam beberapa minggu terakhir musim mampu menjejaskan impian mereka memburu kejuaraan domestik berganda.

Beliau percaya pasukannya tidak boleh lagi mencicirkan sebarang mata ketika mereka memburu pencapaian gemilang menjuarai liga utama Inggeris buat kali keempat berturut-turut.

"Kami lebih suka mereka (Arsenal) kalah, kami tidak boleh mengawal apa yang mereka lakukan, mereka mencatat keputusan yang bagus," kata bos City itu, yang mana pasukannya kini tidak kalah dalam 31 perlawanan bagi semua pertandingan.

"Baki empat perlawanan, saya tidak fikir kami boleh keciciran sebarang mata dan kami tahu apa sebenarnya yang harus dilakukan." – AFP

Berita Harian X