Ahad, 28 April 2024 | 5:00pm
Peminat bola sepak beratur membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan Sri Pahang FC berdepan Terengganu FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam ni. Foto ihsan MPT
Peminat bola sepak beratur membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan Sri Pahang FC berdepan Terengganu FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam ni. Foto ihsan MPT

Aksi Sri Pahang-TFC tarik lebih 7,000 peminat

KUANTAN: Lebih 7,000 tiket dijual bagi perlawanan Sri Pahang FC berdepan Terengganu FC pada aksi pramusim menjelang musim baharu Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), malam ini.

Naib Presiden Satu Persatuan Bolasepak Daerah Temerloh, Suris Mihat berkata, sambutan peminat bola sepak itu dianggap luar biasa selepas Stadium MPT dipilih sebagai gelanggang rasmi skuad Tok Gajah musim 2024/2025.

"Terima kasih kepada semua peminat bola sepak yang membeli tiket perlawanan pada malam ini kerana ia sungguh luar biasa daripada penonton di sekitar Temerloh serta beberapa daerah di Pahang.

"Sokongan ini diharap memberi suntikan kepada pemain Sri Pahang untuk mempamerkan persembahan menyakinkan dalam usaha meletakkan kedudukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), khususnya Liga Super," katanya.

Setakat jam 3 petang tadi, lebih 7,000 tiket terjual termasuk 2,000 tiket di pentas utama dan lebih 5,000 tiket di tempat terbuka sebaik kaunter tiket mula dibuka pada jam 11 pagi.

Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengumumkan harga tiket RM10 (pentas utama) dan RM5 (terbuka) bagi menonton perlawanan Sri Pahang menentang TFC, malam ini.

Stadium MPT mempunyai kapasiti 9,283 tempat duduk selepas Stadium Darul Makmur yang menjadi gelanggang rasmi Sri Pahang akan ditutup bagi tempoh kira-kira enam bulan bagi menaik taraf rumput padang bermula Mei atau Jun depan.

Berita Harian X