Sabtu, 27 April 2024 | 12:21pm
Erling Haaland tidak beraksi dua perlawanan terakhir Manchester City kerana kecederaan otot. – Foto REUTERS
Erling Haaland tidak beraksi dua perlawanan terakhir Manchester City kerana kecederaan otot. – Foto REUTERS

Haaland mungkin kembali temu Forest - Guardiola

MANCHESTER, England: Manchester City mungkin dapat menurunkan semula penyerang prolifik mereka Erling Haaland bagi aksi Liga Perdana Inggeris menentang Nottingham Forest malam esok, kata pengurus Pep Guardiola selepas pasukannya membenam Brighton 4-0 awal pagi semalam.

Penyerang itu, yang juga pendahulu penjaring gol terbanyak liga musim ini bersama pemain Chelsea, Cole Palmer dengan 20 gol, tidak beraksi kedua-dua perlawanan awal pagi semalam dan kemenangan ke atas Chelsea pada separuh akhir Piala FA Sabtu lalu susulan kecederaan otot.

"Saya lebih suka jika Erling dapat beraksi berbanding memiliki skuad tanpanya," kata Guardiola kepada wartawan.

"Saya bercakap dengannya dan dia berkata dia berasa lebih bagus, saya tidak tahu."

City melonjak satu mata di belakang pendahulu Arsenal berikutan kemenangan ke atas Brighton, namun beraksi kurang satu perlawanan berbanding The Gunners dan berada dalam landasan terbaik untuk melakar sejarah memenangi kejuaraan liga kali keempat berturut-turut.

Ketika Forest bergelut dengan penyingkiran hanya satu mata di atas zon itu, City tidak boleh memandang remeh cabaran lawan dengan hanya berbaki lima perlawanan dan mengelak daripada melakukan kesilapan, kata Guardiola.

"Saya sudah berada di stadium itu (City Ground milik Forest) dan ia sering kali luar biasa, tetapi apa yang saya bimbangkan adalah penyerang yang mereka miliki, kami perlu mengawal senjata milik mereka," katanya.

Empat perlawanan terakhir City adalah menentang Wolverhampton Wanderers, Fulham, Tottenham Hotspur dan West Ham United. – REUTERS

Berita Harian X