Sabtu, 27 April 2024 | 10:40am
Pemain Arsenal beraksi empat perlawanan dalam tempoh dua minggu terakhir. – Foto premierleague.com
Pemain Arsenal beraksi empat perlawanan dalam tempoh dua minggu terakhir. – Foto premierleague.com

Letih bukan alasan - Arteta

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak bimbang dengan jadual padat diharungi pemainnya menjelang perlawanan penting seteru tetangga utara London di Tottenham Hotspur malam esok.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal akan mendahului empat mata di depan juara bertahan Manchester City jika mereka mengalahkan Tottenham, sekalipun City, yang berdepan Nottingham Forest beberapa jam kemudian, mempunyai kelebihan kerana beraksi kurang dua perlawanan.

Pasukan tangga kelima Tottenham tidak beraksi selama dua minggu manakala Arsenal bermain empat kali dalam tempoh itu – dua aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich dan aksi liga berdepan Wolves dan Chelsea.

"Saya sukakan hakikat kami bermain empat perlawanan. Kami mengharungi beberapa pengalaman hebat," kata Arteta yang mana pasukannya akan berbaki tiga perlawanan selepas pertemuan dengan Tottenham.

"Ia benar-benar satu minggu yang mencabar. Kami meraih keputusan yang hebat dalam dua perlawanan terakhir. Ia meningkatkan keyakinan setiap pemain. Kami berada di kedudukan yang bagus.

"Kami akan melakukan apa yang boleh untuk bersedia dengan baik bagi perlawanan Ahad ini."

Sekalipun Arsenal mendahului ketika mereka memburu kejuaraan pertama dalam tempoh 20 tahun, Manchester City dianggap sebagai pilihan secara statistiknya untuk memenangi kejuaraan keempat berturut-turut.

Arsenal, yang seri 2-2 dengan Tottenham di laman sendiri, secara asasnya mempunyai skuad paling cergas bagi kemuncak musim ini dengan pemain pertahanan Jurrien Timber akan kembali tidak lama lagi.

Timber, yang mengalami kecederaan anterior cruciate ligament Ogos lalu, beraksi separuh babak bersama pasukan B-21 Arsenal Isnin lalu.

"Kami akan membuat keputusan (mengenai Timber) esok selepas sesi latihan," kata Arteta kepada wartawan lewat malam tadi.

"Saya tidak tahu jika ini terlalu awal buatnya, tetapi dia semakin hampir kembali."

Arteta berkata, memiliki terlalu ramai pemain yang boleh dipilih memeningkan kepalanya tetapi ia tetap bagus buat Arsenal. – REUTERS

Berita Harian X