Sabtu, 27 April 2024 | 7:44am
Liverpool dilaporkan mencapai persetujuan dengan Feyenoord untuk membawa jurulatih Arne Slot ke Anfield bagi menggantikan Jurgen Klopp. – Foto AGENSI
Liverpool dilaporkan mencapai persetujuan dengan Feyenoord untuk membawa jurulatih Arne Slot ke Anfield bagi menggantikan Jurgen Klopp. – Foto AGENSI

Liverpool setuju Slot pengurus baharu - laporan

LONDON: Liverpool sudah mencapai persetujuan dengan Feyenoord awal pagi tadi untuk membolehkan Arne Slot menggantikan Jurgen Klopp sebagai pengurus, lapor media Britain.

Press Association menyatakan pakej pampasan buat pengendali berusia 45 tahun itu, yang mempunyai baki kontrak dua tahun, kini sudah dipersetujui.

BBC mendakwa perjanjian itu bernilai hingga £9.4 juta (RM55.9 juta).

Slot berkata kelmarin beliau "yakin" untuk meraih tugas di Anfield.

"Saya mahu ke Liverpool. Kini saya menanti sama ada kedua-dua kelab mampu mencapai persetujuan. Saya amat yakin dengannya," katanya kepada wartawan.

Slot berpindah ke Feyenoord pada 2021 selepas memukau dalam peranan pertamanya sebagai pengurus di AZ Alkmaar.

Beliau mengemudi kelab gergasi Belanda itu ke final Liga Konferens Europa pada hujung musim pertamanya, yang mana mereka tewas tipis 1-0 di tangan kelab Jose Mourinho, AS Roma.

Slot kemudian mengemudi kejuaraan kedua liga dalam tempoh 24 tahun ke De Kuip musim lalu sebelum menandantangani kontrak baharu tiga tahun.

Klopp akan melepaskan jawatannya hujung musim ini selepas sembilan tahun mengendalikan pasukan yang menyaksikan kejayaan memenangi Liga Juara-Juara pada 2019 dan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris setahun kemudian.

"Saya suka cara pasukannya bermain bola sepak. Jika beliaulah orangnya, saya suka kerana beliau mahukannya," kata Klopp kepada wartawan semalam apabila ditanya mengenai kualiti Slot.

"Saya tidak mengenalinya, namun sesetengah orang yang mengenalinya berkata beliau seorang yang baik. Saya sukakannya. Jadi jurulatih yang bagus, lelaki yang baik. Jika beliau jalan penyelesaiannya, jika beliaulah orangnya, saya lebih daripada gembira." – AFP

Berita Harian X