Jumaat, 26 April 2024 | 11:16pm
Selangor FC (SFC) membuka kempen Cabaran Asia Selangor (SAC) 2024 dengan membelasah wakil Brunei, DPMM FC 4-0. - Foto FB SELANGOR FC
Selangor FC (SFC) membuka kempen Cabaran Asia Selangor (SAC) 2024 dengan membelasah wakil Brunei, DPMM FC 4-0. - Foto FB SELANGOR FC

SFC belasah DPMM FC 4-0

KUALA LUMPUR: Pencabar kejuaraan Liga Super musim ini, Selangor FC (SFC) membuka kempen Cabaran Asia Selangor (SAC) 2024 dengan bergaya selepas membelasah wakil Brunei, DPMM FC 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.

Dengan kemenangan dan empat gol berjaya dihasilkan, skuad bimbingan Nidzam Jamil itu mengutip tujuh mata untuk mendahului saingan selepas satu perlawanan setakat ini.

Sebagai rekod, format SAC 2024 menyaksikan setiap kemenangan akan mendapat tiga mata manakala setiap jaringan gol akan dikira sebagai satu mata tambahan dengan pasukan teratas liga akan dinobatkan selaku juara.

Pada aksi terbabit, SFC memanfaatkan peluang menerusi sepakan percuma pada minit ke-14 apabila Noor Al-Rawabdeh berjaya melakukan rembatan deras menewaskan Kristijan Naumovski untuk meletakkan SFC mendahului 1-0.

DPMM FC terselamat daripada bolos kali kedua pada minit ke-20 apabila Naumovski cemerlang menepis sepakan percuma Alvin Fortes namun pemain itu akhirnya menebus kekecewaan apabila menyumbat gol kedua SFC pada minit ke-29.

Hanya palang gol menjadi pemisah daripada SFC mendapatkan gol ketiga selepas percubaan Yohandry Orozco sekadar singgah di palang seminit berselang dan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Tuan rumah terus selesa apabila Naumovski hanya mampu melihat rembatan deras Al-Rawabdeh menerjah gawangnya buat kali ketiga pada minit ke-56 sebelum Fortes menambah gol keempat pada minit ke-67.

Terdahulu, pada aksi sebelah petang menyaksikan wakil Singapura, Balestier Khalsa FC menewaskan wakil Laos, Young Elephants FC 1-0 hasil jaringan penalti Kodai Tanaka pada minit ke-42.

Satu kemenangan dan satu gol dijaringkan itu membolehkan Balestier Khalsa FC mengutip empat mata sekali gus menghuni tangga kedua saingan.

Berita Harian X