Jumaat, 26 April 2024 | 7:22pm
Barisan pemain Sri Pahang FC menggayakan jersi baharu skuad itu bagi musim 2024/2025. - Foto NSTP/Asrol Awang
Barisan pemain Sri Pahang FC menggayakan jersi baharu skuad itu bagi musim 2024/2025. - Foto NSTP/Asrol Awang
Barisan pemain Sri Pahang FC menggayakan jersi baharu skuad itu bagi musim 2024/2025. - Foto NSTP/Asrol Awang
Barisan pemain Sri Pahang FC menggayakan jersi baharu skuad itu bagi musim 2024/2025. - Foto NSTP/Asrol Awang

Sri Pahang sasar tiga teratas Liga Super

KUANTAN: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mensasarkan kedudukan tiga teratas dalam saingan Liga Super bagi musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata sasaran itu berdasarkan pengalaman dan barisan pemain musim baharu yang dilihat lebih mantap dalam membantu pencapaian lebih baik berbanding musim lalu.

"Musim lalu Sri Pahang FC menamatkan saingan di kedudukan kelima Liga Super dan dengan kemasukan beberapa pemain baharu berpengalaman termasuk import, sasaran tiga kedudukan teratas Liga Super adalah yang terbaik.

"Insya-Allah dengan semangat dan sokongan peminat setia Tok Gajah termasuk beraksi di gelanggang baharu (Stadium Majlis Perbandaran Temerloh) di Temerloh, sasaran itu mampu dicapai," kata Mohammed Suffian.

Mohammed Suffian berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jersi dan Pemain Sri Pahang musim 2024/25 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Pada musim baharu itu, SPFC mengumumkan kerjasama strategik bersama Voltra Pro dengan melancarkan jersi yang diyakini akan memperbaharui identiti dan pengalaman penyokong bola sepak Pahang.

Tiga jersi yang diumumkan itu ialah kuning dan biru untuk aksi di gelanggang sendiri - bermotifkan makanan tradisi Pahang, tempoyak.

Jersi kedua untuk aksi di laman lawan berwarna coklat muda yang mengambil inspirasi kopi latte seperti secawan kopi sempurna yang membangkitkan semangat.

Manakala jersi alternatif diberi nama Tok Gajah, yang diinspirasikan warna dan corak kulit gajah yang melambangkan kemegahan dan kekuatan terutama apabila bertandang ke gelanggang lawan.

Mohammed Suffian berkata, nilai penajaan kerjasama strategik itu berjumlah RM1 juta yang bukan sahaja menaja jersi skuad Liga Super, malah skuad Sri pahang bawah 23, 20 dan 18 tahun.

"Oleh itu kita mengharapkan kerjasama ini akan membantu meningkatkan pencapaian terbaik Sri Pahang yang diperkuatkan 25 pemain, masing-masing 19 tempatan dan enam import," katanya.

Berita Harian X