Jumaat, 26 April 2024 | 6:32pm
Datuk Ong Kim Swee kekal sebagai pengendali Sabah FC hingga akhir musim ini berdasarkan kontrak yang sudah dipersetujui. - Foto NSTP
Datuk Ong Kim Swee kekal sebagai pengendali Sabah FC hingga akhir musim ini berdasarkan kontrak yang sudah dipersetujui. - Foto NSTP
Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid pada sesi bersama media di Kota Kinabalu. - Foto NSTP/Izwan Abdullah
Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid pada sesi bersama media di Kota Kinabalu. - Foto NSTP/Izwan Abdullah

Kim Swee kekal kemudi Sabah FC

KOTA KINABALU: Datuk Ong Kim Swee kekal sebagai pengendali Sabah FC hingga akhir musim ini berdasarkan kontrak yang sudah dipersetujui.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata, tidak timbul soal pengganti atau siapa bakal mengambil alih tempatnya seperti yang ditimbulkan baru-baru ini.

Persoalan itu katanya, hanya akan difikirkan selepas kontrak Kim Swee tamat atau jika beliau membuat keputusan untuk menerima tawaran baharu sebelum kontraknya tamat.

"Tidak timbul soal kalau bukan Datuk Ong Kim Swee siapa lagi yang kedua sebab kontraknya hingga hujung musim ini.

"Jadi sama ada Datuk Ong Kim Swee atau tidak, itu difikirkan selepas tamat kontrak beliau atau dia sendiri membuat keputusan untuk menerima tawaran baharu.

"Tapi setakat ini perkara itu belum muncul, jadi secara ringkas beliau akan bersama kita sepanjang musim ini dan begitu juga dengan pemain lain," kata Mohd Joh pada sesi bersama media, di sini, hari ini.

Mohd Joh mengulas khabar angin dan laporan tular baru-baru ini yang antara lain menyebut kemungkinan Kim Swee bakal meninggalkan Sabah FC secara mengejut.

Khabar angin itu dikaitkan dengan kekosongan jawatan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) apabila Majlis Sukan Negara (MSN) dikatakan berminat mendapatkan khidmat Kim Swee.

Bagaimanapun, Kim Swee dilaporkan menyifatkan perkara itu sebagai spekulasi berikutan wujud kekosongan jawatan tertentu, lebih-lebih lagi tiada sebarang perbincangan rasmi dibuat.

Kim Swee sebelum ini turut menyatakan tumpuannya kini untuk kekal bersama Sabah, terutama dalam menghadapi saingan musim baharu Liga Super.

Sementara itu, Mohd Joh berkata berikutan masalah kewangan dihadapi Sabah FC sebelum ini, pihaknya juga ada berbincang dengan Kim Swee untuk memaklumkan kepada pemain jika ada yang mahu meninggalkan pasukan secara sukarela.

"Ia sebagai langkah untuk mengurangkan tanggungan mana-mana pemain yang secara sukarela boleh meninggalkan Sabah FC atas persetujuan bersama, kerana kita tidak mahu pemain terbeban sekiranya berlaku peristiwa musim lalu apabila gaji tertunggak sampai tiga bulan.

"Kita risau keadaan itu akan berulang tetapi setakat ini belum terjadi dan kita berharap ia tidak akan berlaku lagi.

"Tapi, pemain kita lebih memilih untuk bersama dengan Sabah FC kerana mereka sayangkan Sabah FC. Mereka selesa di Sabah kerana mereka mempunyai sokongan yang sangat kuat di sini.

"Mereka kagum dengan sokongan yang diberikan peminat. Begitu juga masyarakat Sabah yang begitu menghormati dan menyanjung mereka sebagai pemain," katanya.

Menurutnya, komitmen disuarakan pemain skuad Sang Badak itu menjadi motivasi kepada pengurusan Sabah FC untuk terus bekerja kuat bagi memastikan pasukan terus melakar kejayaan.

Berita Harian X