Jumaat, 26 April 2024 | 2:34pm
Manchester City menemui rentak terbaik tepat pada masanya ketika musim semakin menuju ke penghujung.– Foto REUTERS
Manchester City menemui rentak terbaik tepat pada masanya ketika musim semakin menuju ke penghujung.– Foto REUTERS

City di landasan kejuaraan, Spurs uji Arsenal

LONDON: Manchester City mempamerkan prestasi mengagumkan ketika juara bertahan itu memburu mahkota kejuraaan Liga Perdana Inggeris kali keempat berturut-turut.

Pendahulu Arsenal berdepan tugas getir dalam usaha mereka merebut semula kejuaraan dengan pertembungan seteru tetangga utara London menentang Tottenham manakala Sheffield United berada di ambang penyingkiran hujung minggu ini.

Phil Foden melaungkan amaran kepada pencabar kejuaraan Manchester City selepas jentera serangan "menakutkan" pasukan juara itu mencetus kemenangan besar 4-0 ke atas Brighton.

Anak buah Pep Guardiola tidak boleh melakukan kesilapan di Stadium Amex awal pagi tadi ketika mereka cuba untuk mengatasi Arsenal dalam perlumbaan kejuaraan.

City memenuhi tugas mereka apabila tandukan terbang Kevin De Bruyne meletakkan mereka di depan sebelum Foden meledak dua gol pada babak pertama.

Pertembungan antara Arsenal (jersi merah) dengan Tottenham di Stadium Tottenham Hotspur, London malam Ahad ini antara perlawanan terbesar hujung minggu ini. – Foto REUTERS
Pertembungan antara Arsenal (jersi merah) dengan Tottenham di Stadium Tottenham Hotspur, London malam Ahad ini antara perlawanan terbesar hujung minggu ini. – Foto REUTERS

Julian Alvarez menambah gol keempat selepas rehat untuk menamatkan kemarau golnya ketika City yang menghuni tangga kedua melonjak hanya satu mata di belakang Arsenal.

City mempunyai satu perlawanan lebih berbanding Arsenal dan pasukan tangga ketiga Liverpool, yang ketinggalan dua mata di belakang anak buah Guardiola selepas kekalahan memilukan di Everton awal pagi semalam.

Kelab Etihad itu boleh bergelar juara sekali lagi jika mereka menang baki lima perlawanan, bermula dengan di Nottingham Forest Ahad ini.

"Pada babak pertama ia menakutkan dengan cara kami menyerang," kata Foden, manakala De Bruyne menambah: "Saya sudah tentu percaya dengan pasukan, Arsenal dan Liverpool juga patut dihormati kerana mereka mengagumkan."

Arsenal mesti menang di kelab musuh tradisi Tottenham buat musim kedua berturut-turut untuk mengekang cabaran City, manakala Liverpool meneruskan saki baki cabaran mereka di West Ham.

Liverpool perlu bangkit daripada kekalahan di tangan Everton di Goodison Park kelmarin. – Foto REUTERS
Liverpool perlu bangkit daripada kekalahan di tangan Everton di Goodison Park kelmarin. – Foto REUTERS

Dengan Tottenham berdepan tugas getir menentang Arsenal, Aston Villa mempunyai peluang keemasan untuk mengukuhkan kedudukan di tangga keempat apabila mereka melayan kelab bermasalah Chelsea.

Villa berada enam mata di depan pasukan tangga kelima Tottenham, yang beraksi kurang dua perlawanan dalam perebutan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Kemenangan buat anak buah Unai Emery awal pagi Ahad ini dan kekalahan buat Tottenham akan membolehkan Villa selangkah untuk memastikan kempen Piala Eropah buat kali pertama sejak 1982-83.

Prospek untuk membenam benteng pertahanan Chelsea yang dibolosi lima kali oleh Arsenal awal pagi kelmarin terletak di bahu penyerang berbisa Villa, Ollie Watkins.

Watkins sudah meledak 19 gol dalam liga musim ini – di belakang pendahulu penjaring gol terbanyak bersama Erling Haaland dan Cole Palmer – dan turut muncul pendahulu pengumpan gol terbanyak liga utama dengan 12 umpanan.

"Saya menghargai sumbangannya dan perkembangannya. Komitmennya untuk melaksanakan tugas yang kami perlukan sering kali hebat, lebih daripada menjaringkan gol, lebih daripada mengumpan gol," kata Emery. – AFP

JADUAL EPL MINGGU INI

Malam esok:

West Ham mln Liverpool (7.30 mlm)

Fulham mln Crystal Palace (10 mlm)

Manchester United mln Burnley (10 mlm)

Newcastle mln Sheffield United (10 mlm)

Wolves mln Luton (10 mlm)

Awal pagi Ahad:

Everton mln Brentford (12.30 tgh mlm)

Aston Villa mln Chelsea (3 pagi)

Malam Ahad:

Bournemouth mln Brighton (9 mlm)

Tottenham mln Arsenal (9 mlm)

Nottingham Forest mln Manchester City (11.30 mlm)

Berita Harian X