Khamis, 25 April 2024 | 5:26pm
Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid. FOTO/ Sabah FC
Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid. FOTO/ Sabah FC

Piala SMJ: Hougang United, KL City dan Kuching City uji kekuatan Sabah

KOTA KINABALU: Sabah FC bakal berdepan dua pasukan Liga Super dan satu pasukan dari Singapura dalam aksi pramusim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) di Stadium Likas pada 29 April hingga 5 Mei ini.

Dua pasukan Liga Super itu ialah KL City FC dan Kuching City FC manakala dari Singapura ialah bekas lawan Sabah FC dalam aksi Kumpulan H, Piala AFC 2023, Hougang United FC.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid, berkata ketiga-tiga pasukan itu sudah mengesahkan diri untuk menyertai kejohanan bola sepak yang ditaja Sedafiat Sdn Bhd dan Anika Desiran Sdn Bhd.

Katanya, kejohanan tahunan edisi kedua itu menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM33,000, masing-masing RM15,000 untuk juara, diikuti naib juara (RM10,000), ketiga (RM5,000) dan keempat (RM3,000).

"Kejohanan ini bakal menguji kekuatan dan strategi pasukan masing-masing sebelum menghadapi saingan Liga Malaysia 2024 / 2025 yang akan bermula pada 10 Mei depan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mohd Joh berkata, kejohanan itu menjadi ruang terbaik kepada semua pasukan bagi menguji keserasian dan kecergasan pemain sebelum menghadapi persaingan sebenar nanti.

Katanya, penyertaan pasukan luar negara seperti Hougang United juga dilihat boleh menguji pasukan Sabah FC selepas kedua-duanya terbabit dalam kejohanan Piala AFC tahun lalu.

"Sabah FC perlu memanfaatkan peluang keemasan beraksi di gelanggang sendiri dalam kejohanan ini. Ia juga disasar dapat menarik perhatian peminat dan penyokong menyaksikan Piala SMJ 2024," katanya.

Beliau berkata tiket perlawanan mula dijual esok dan orang ramai boleh mendapatkannya secara dalam talian di laman www.tickethotline.com.my.

Mohd Joh berkata, penganjur menetapkan harga tiket berbumbung RM15 bagi dewasa manakala RM10 bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

"Bagi tiket di kawasan tidak berbumbung pula, harga yang ditetapkan ialah RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah," katanya.

Berita Harian X