Rabu, 24 April 2024 | 11:20pm
Reaksi Erling Haaland ketika bertemu Real Madrid pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, Manchester minggu lalu. – Foto REUTERS
Reaksi Erling Haaland ketika bertemu Real Madrid pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, Manchester minggu lalu. – Foto REUTERS

Haaland terlepas aksi Brighton

MANCHESTER, England: Manchester City akan tampil tanpa penjaring gol terbanyak Erling Haaland apabila mereka bertandang ke Brighton awal pagi Jumaat ini, menurut pengurus Pep Guardiola ketika pasukannya terus memburu kejuaraan keempat berturut-turut Liga Perdana Inggeris.

"Erling Haaland tidak bersedia untuk esok, (ia) bukannya satu isu besar tetapi tidak boleh diturunkan bagi perlawanan ini," kata Guardiola kepada wartawan hari ini.

Penyerang itu, yang berkongsi kedudukan sebagai pendahulu penjaring gol terbanyak musim ini bersama pemain Chelsea, Cole Palmer dengan masing-masing 20 gol, turut terlepas kemenangan separuh akhir Piala FA Sabtu lalu ke atas The Blues kerana kecederaan otot dialami ketika kalah di tangan Real Madrid pada suku akhir Liga Juara-Juara tiga hari sebelumnya.

Phil Foden dan John Stones bagaimanapun akan kembali bersama City awal pagi Jumaat ini, apabila mereka boleh melonjak satu mata di belakang pendahulu Arsenal tetapi dengan beraksi kurang satu perlawanan.

Arsenal sudah beraksi 34 perlawanan manakala anak buah Guardiola baru beraksi 32 perlawanan.

Brighton berada di tangga ke-10 liga.

Ketika peluang City untuk mengulangi pencapaian treble berkubur selepas kalah kepada Madrid minggu lalu, mereka masih dalam buruan kejuaraan berganda selepas layak ke final Piala FA menentang Manchester United dalam ulangan aksi musim lalu.

"Kami mengalami banyak masalah dengan pemain tonggak kerana kecederaan, tetapi kami masih bersaing di sana," kata Guardiola.

"Kami layak ke final Piala FA, kami berjaya ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara dan dalam Liga Perdana kami masih bersaing di sana.

"Tetapi anda boleh berdepan penamat sebegini dan dalam seminggu (boleh) kehilangan semua kejuaraan. Setiap perlawanan amat penting sekarang kerana setiap kesilapan dan kejutan menyukarkan. Namun kami sudah berada di sini beberapa kali dan kami tahu apa yang perlu dilakukan." – REUTERS

Berita Harian X