Rabu, 24 April 2024 | 1:35pm
Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino (kanan) kecewa selepas pasukannya dibelasah 5-0 oleh Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London. - Foto REUTERS
Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino (kanan) kecewa selepas pasukannya dibelasah 5-0 oleh Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London. - Foto REUTERS

Pochettino kecewa aksi tidak konsisten Chelsea

LONDON: Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino kecewa dengan aksi tidak konsisten pasukannya selepas dibelasah 5-0 oleh Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Kekalahan di Stadium Emirates itu hadir hanya beberapa hari selepas mereka berjaya memberi tekanan kepada Manchester City sebelum tewas pada aksi separuh akhir Piala FA di Wembley.

Leandro Trossard membuka jaringan untuk Arsenal sebelum Ben White dan bekas pemain Chelsea, Kai Havertz masing-masing meledak dua gol untuk kemenangan terbesar The Gunners ke atas The Blues.

Malah Chelsea sebelum itu belum pernah tewas dalam lapan aksi liga, sekali gus membantutkan harapan mereka untuk beraksi di kejohanan Eropah musim depan.

"Apabila kami mengharungi hari yang teruk, ia sangat buruk. Apabila bagus, kami mampu melakukan apa saja.

"Kita tidak boleh menyalahkan pemain-pemain, saya tidak akan menyalahkan mereka.

"Kita tidak boleh menyalahkan pemain-pemain muda yang datang ke sini selepas mengharungi situasi sukar, datang untuk berjuang menentang pasukan yang bersedia memenangi Liga Perdana Inggeris.

"Memang benar kami kecewa dengan persembahan kami, tetapi saya tidak akan katakan sesuatu yang tidak adil untuk menggambarkan pasukan kami, pemain-pemain dan skuad," kata Pochettino.

Chelsea akan bertandang ke laman Aston Villa yang menghuni tangga keempat pada Sabtu, sebelum melayan kunjungan Tottenham Hotspur di tangga kelima pada 2 Mei. - REUTERS

Berita Harian X