Rabu, 24 April 2024 | 12:34pm
Skuad B-23 negara ketika menentang Kuwait awal pagi tadi. - Foto FB FAM
Skuad B-23 negara ketika menentang Kuwait awal pagi tadi. - Foto FB FAM

Berakhir kempen mengecewakan

KUALA LUMPUR: Saingan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2024 jelas menjadi kempen yang mengecewakan buat skuad Harimau Muda selepas melakar 'hatrik kekalahan' dalam tiga perlawanan peringkat Kumpulan D di Qatar itu.

Tewas di tangan Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait, skuad bimbingan Juan Torres Garrido menamatkan kempen di tangga tercorot sekali gus menyaksikan skuad B-23 negara mengulangi pencapaian kempen edisi 2022 di Uzbekistan.

Hakikat itu diakui Garrido yang melihat anak buahnya gagal memberikan aksi yang terbaik ketika pasukan itu diletakkan harapan untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir seperti pada edisi 2018.

"Kita tidak boleh positif kerana jangkaan kita berbeza. Jadi sukar untuk menilai (prestasi di Qatar) kerana apa yang berlaku di dalam perlawanan adalah berbeza dengan prestasi dan analisis yang kita lakukan.

"Tetapi kita menghadapi perkara ini bersama dan saya ingin meminta maaf kepada penyokong kerana kami tidak mencapai tahap yang kami mahukan," kata Garrido.

Terdahulu, harapan skuad negara untuk menutup kempen dengan kemenangan tidak kesampaian apabila tumbang 1-2 di tangan Kuwait di Stadium Al-Janoub selain mereka terus menghadiahkan enam enam sepakan penalti dalam lima aksi berturut-turut.

Lebih malang, mereka terpaksa beraksi pada keseluruhan separuh masa kedua dengan 10 pemain apabila penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dilayangkan kad merah susulan mengasari pemain Kuwait di penghujung babak pertama.

Mengulas lanjut pertembungan itu, Garrido mengakui kad merah Sikh Izhan menjadi antara faktor mereka tumbang namun dia tetap kecewa apabila anak buahnya gagal menyudahkan peluang meskipun lebih banyak menguasai perlawanan selepas rehat.

"Kami ada peluang untuk menjaringkan gol tetapi situasi tidak dijangka (kad merah Sikh Izhan) menjadikan keadaan bertambah sukar. Kami cuba menyesuaikan diri dan pemain berjuang habis-habisan untuk mendapatkan gol penyamaan.

"Apabila kami terus berkembang dalam perlawanan, pemain mula kepenatan terutamanya selepas beraksi tiga perlawanan. Pemain menunjukkan apa yang dimahukan tetapi kami tiada tenaga di dalam kawasan lawan," katanya.

Berita Harian X