Rabu, 24 April 2024 | 1:44am
Antara aksi skuad B-23 negara menentang Kuwait bagi aksi Piala Asia B-23 2024 di Stadium Al-Janoub, sebentar tadi. FOTO FAM
Antara aksi skuad B-23 negara menentang Kuwait bagi aksi Piala Asia B-23 2024 di Stadium Al-Janoub, sebentar tadi. FOTO FAM

Harimau Muda 'tewas hatrik' di Qatar

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara menamatkan kempen Piala Asia B-23 2024 di tangga tercorot Kumpulan D selepas tewas 1-2 di tangan Kuwait pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Al-Janoub, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Juan Torres Garrido melakar hatrik kekalahan di Qatar selepas sudahpun tersingkir awal susulan dua kekalahan pertama di tangan Uzbekistan dan Vietnam.

Malah, mereka menghadiahkan enam sepakan penalti dalam lima aksi berturut-turut bermula dua aksi persahabatan menentang China dan Qatar serta dua perlawanan sebelum ini berdepan Uzbekistan serta Vietnam.

Pada aksi itu, amaran awal skuad negara menerusi Daryl Sham pada minit ketiga tepat ke dakapan Abdulrahman Alfadhli sebelum jaringan Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-15 tidak dikira susulan dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Pemain Kuwait, Talal Alqaisi terlepas peluang untuk meledak gol pembukaan pada minit ke-17 selepas dia yang menerima hantaran lintang Salman Mohammed merembat tinggi melepasi gawang gol.

Tindakan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang meluru keluar sehingga mengasari Salman mengundang padah apabila penjaga gol itu terus dilayangkan kad merah dan ini memaksa Luqman Hakim dikeluarkan bagi memasukkan Firdaus Irman.

Kuwait akhirnya memecah kebuntuan di hujung babak pertama apabila Salman menyempurnakan sepakan penalti susulan semakan menerusi VAR sekali gus menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan satu gol.

Bersambung babak kedua, gawang gol negara 'bocor' buat kali kedua pada minit ke-60 menerusi tandukan Talal yang terlepas dari kawalan pertahanan Malaysia untuk Kuwait terus selesa berkelebihan 2-0.

Malaysia mengurangkan defisit dua minit berselang hasil percubaan Haqimi Azim Rosli dan perlawanan kembali 'sama rata' apabila Kuwait turut beraksi dengan 10 pemain susulan Salman dilayangkan kad merah pada minit ke-81.

Percubaan T Saravanan pada minit kedua masa tambahan ditepis Abdulrahman namun jaringan penyamaan diburu Malaysia gagal dihasilkan sekali gus membolehkan Kuwait meraih kemenangan pertama pada kempen kali ini.

Berita Harian X