Rabu, 24 April 2024 | 12:32am
Piala Asia B-23 2024
Piala Asia B-23 2024

Piala Asia B-23: Kuwait dahului Malaysia 1-0

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) ketinggalan 0-1 menentang Kuwait selepas tamat separuh masa pertama bagi aksi terakhir Kumpulan D Piala Asia B-23 2024 di Stadium Al-Janoub.

Bukan setakat ketinggalan malah mereka berdepan tugas sukar apabila terpaksa meneruskan sepanjang babak kedua dengan 10 pemain apabila penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dilayangkan kad merah pada hujung babak pertama.

Pada aksi itu, Malaysia tampak lebih mendominasi awal permainan dan amaran awal dihantar Daryl Sham George pada minit ketiga namun tepat ke dakapan Abdulrahman Alfadhli.

Kuwait dilihat bernasib baik apabila Fahad Alfadhli yang mengasari Daryl Sham pada minit keenam hanya dilayangkan kad kuning selepas pengadil, Alexander King menggunakan monitor Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi meneliti insiden terbabit.

Penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin memecah kebuntuan pada minit ke-15 namun sayangnya, jaringan itu tidak dikira memandangkan dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Pemain Kuwait, Talal Alqaisi terlepas peluang untuk meledak gol pembukaan pada minit ke-17 selepas dia yang menerima hantaran lintang Salman Mohammed merembat tinggi melepasi gawang gol.

Tindakan Sikh Izhan yang meluru keluar sehingga mengasari Salman mengundang padah apabila penjaga gol itu terus dilayangkan kad merah dan ini memaksa Luqman Hakim dikeluarkan bagi memasukkan Firdaus Irman.

Kuwait akhirnya meledak gol pembukaan di hujung babak pertama apabila Salman menyempurnakan sepakan penalti susulan semakan menerusi VAR.

Berita Harian X