Selasa, 23 April 2024 | 9:18pm
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag memberi arahan kepada pasukannya ketika aksi Piala FA menentang Coventry City di Stadium Wembley. - AFP
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag memberi arahan kepada pasukannya ketika aksi Piala FA menentang Coventry City di Stadium Wembley. - AFP

Ten Hag berang komen 'mengaibkan' United di Piala FA

LONDON: Erik ten Hag berkata reaksi media kepada persembahan Manchester United pada separuh akhir Piala FA menentang Coventry adalah sesuatu "yang mengaibkan" sambil teguh mempertahankan pencapaian pasukannya yang mara ke final buat kali kedua berturut-turut.

United melepaskan kelebihan 3-0 di Wembley pada Ahad dan terselamat daripada dimalukan dalam tambahan masa oleh VAR yang menafikan jaringan kerana ofsaid pada saat akhir.

Mereka akhirnya mengetepikan pasukan Liga Kejuaraan itu bagi menempah pertembungan ulangan di final tahun lalu menentang City.

Ten Hag mengakui selepas perlawanan bahawa pasukannya "terselamat daripadanya" tetapi menolak sebarang tuduhan memalukan.

Bekas penyerang Liga Perdana, Chris Sutton berkata persembahan itu hanya akan "mempercepatkan pemecatannya."

Namun Ten Hag pada malam sebelum aksi menentang Sheffield United mempertahankannya.

"Anda yang bertanya soalan itu: 'Adakah ia memalukan?' Tidak, reaksi daripada anda mengaibkan," katanya hari ini.

"Ia adalah komen. Bola sepak peringkat tertinggi ialah mengenai keputusan. Kami berjaya ke final dan kami berhak, bukan hanya perlawanan ini tetapi juga yang lain.

"Kami hilang kawalan dalam 20 minit, kami juga bernasib malang, 3-2, 3-3. Kami amat bertuah pada penghujungnya, ia jelas. Penalti amat baik dan kami berjaya ke final, ia persembahan besar. Dua kali dalam dua tahun, ia mengagumkan. Bagi saya selaku pengurus, empat final merebut piala dalam empat tahun.

"Komen itu mengaibkan." - AFP

Berita Harian X