Isnin, 22 April 2024 | 7:54pm
Terengganu FC (TFC) menjuarai aksi pra-musim Piala Kejohanan Empat Penjuru yang turut disertai TFC II, Penang FC dan KDA FC. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Terengganu FC (TFC) menjuarai aksi pra-musim Piala Kejohanan Empat Penjuru yang turut disertai TFC II, Penang FC dan KDA FC. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Permulaan baik buat TFC - Steinbruckner

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menyifatkan kejayaan merangkul Piala Kejohanan Empat Penjuru adalah permulaan baik buat pasukannya.

Menurut pengendali kelahiran Croatia itu, walaupun hanya membabitkan empat pasukan, kejayaan itu mampu menyuntik semangat anak buahnya sebelum saingan Liga Super membuka tirainya pada 11 Mei depan.

Bagaimanapun bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim 2022 itu berkata, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki segera bagi memastikan skuad bimbingannya itu mampu 'terbang' lebih jauh lagi.

"Memenangi kejohanan itu sudah tentu satu permulaan dan insentif yang begitu baik untuk meneruskan kecemerlangan pada musim yang panjang nanti, juga boleh saya simpulkan ia mampu membakar lagi semangat pemain sebelum Liga Malaysia (Liga M) bermula kurang tiga minggu lagi.

"Bagaimanapun secara keseluruhannya dalam enam perlawanan pra-musim termasuk Kejohanan Empat Penjuru, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki segera.

"Salah satu daripadanya pasukan melepaskan satu gol mudah hasil kesilapan diri sendiri, begitu juga kombinasi antara pemain serta penyudah, tapi kami perlu berusaha untuk meningkatkan kecekapan permainan.

"Saya menjangkakan ia akan menjadi lebih baik dalam tempoh akan datang kerana kami tidak mencipta terlalu banyak peluang dalam dua perlawanan pertama dan aksi yang ketiga," kata jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat perlawanan ketiga menentang pasukan 'adik', Terengganu FC II (TFC II) yang berakhir dengan keputusan terikat tanpa jaringan malam tadi.

Dengan keputusan itu, skuad TFC yang mengumpul lima mata berjaya merangkul kejuaraan dalam kejohanan yang turut disertai Penang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Naib juara pula dimenangi TFC II yang berkongsi empat mata dengan KDA FC, namun berkelebihan jaringan.

Berita Harian X