Isnin, 22 April 2024 | 7:23pm
Garisan ofsaid VAR didakwa melalui sebahagian kaki pemain Manchester United, Aaron Wan-Bissaka. - Foto AGENSI
Garisan ofsaid VAR didakwa melalui sebahagian kaki pemain Manchester United, Aaron Wan-Bissaka. - Foto AGENSI
Jaringan pemain Coventry City, Victor Torp ke atas Manchester United pada aksi separuh akhir Piala FA di Wembley dibatalkan. - Foto REUTERS
Jaringan pemain Coventry City, Victor Torp ke atas Manchester United pada aksi separuh akhir Piala FA di Wembley dibatalkan. - Foto REUTERS

Garisan ofsaid VAR dipersoal

LONDON: Peminat bola sepak mendakwa aksi separuh akhir Piala FA di Wembley semalam sudah diatur selepas VAR sekali lagi melakukan kesilapan.

Ramai merasakan berlaku kesilapan dalam keputusan membatalkan gol minit terakhir Coventry City ketika menentang Manchester United.

Kelab Liga Kejuaraan itu menyangka mereka berjaya melengkapkan kebangkitan untuk kemenangan 4-3 selepas Victor Torp menjaringkan gol pada minit terakhir masa tambahan.

Bagaimanapun gol berkenaan dibatalkan kerana ofsaid apabila Haji Wright dikatakan berada di depan Aaron Wan-Bissaka.

Coventry, yang ketinggalan 3-0 ketika permainan berbaki 20 minit sebelum bangkit meledak tiga gol, akhirnya tewas menerusi penentuan penalti.

Peminat di media sosial mempersoalkan keputusan itu selepas mereka membesarkan garisan yang dibuat oleh VAR pada perlawanan berkenaan.

Mereka percaya garisan yang mengenai kaki Wan-Bissaka melepasi sebahagian daripada kasutnya, bukan di hujung kakinya.

"Dia ofsaid kerana mereka melukis garisan di atas kasut Wan-Bissaka," kata salah seorang peminat.

"Saya tidak rasa dia ofsaid. Lihat garisan yang melintasi Wan-Bissaka. Ia bukan di hujung kaki seperti pemain Coventry," kata seorang lagi.

"Jika garisan itu dibuat dengan betul, gol berkenaan ada sah. Coventry dirompak," kata peminat lain.

Bagaimanapun tiada bukti yang boleh mengesahkan keputusan itu sudah diatur. - AGENSI

Berita Harian X