Isnin, 22 April 2024 | 6:47pm
Manchester City dan Manchester United akan bertemu sekali lagi di final Piala FA musim ini. - Foto AGENSI
Manchester City dan Manchester United akan bertemu sekali lagi di final Piala FA musim ini. - Foto AGENSI

Kelab-kelab Manchester pecah rekod 139 tahun Piala FA

LONDON: Kemenangan Manchester United ke atas Coventry City menerusi penentuan penalti separuh akhir Piala FA memecahkan rekod 139 tahun.

The Red Devils mendahului 3-0 sebelum kelab Liga Kejuaraan itu bangkit menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke masa tambahan serta penentuan penalti.

Skuad kendalian Erik ten Hag berjaya lolos ke final tetapi pemerhati bola sepak yakin masa depan pengendali United itu semakin pudar di Old Trafford.

Man United turut memecahkan rekod lama dengan kemenangan itu.

Ia dikongsi bersama Manchester City, yang akan akan menjadi lawan United selepas mereka menewaskan Chelsea dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Buat pertama kali dalam tempoh 139 tahun, dua pasukan beraksi dalam final Piala FA untuk dua tahun berturut-turut.

Derbi Manchester akan berlangsung pada 25 Mei, sebagai ulangan kepada pertembungan di Wembley musim lalu, yang dimenangi oleh skuad kendalian Pep Guardiola untuk kejuaraan treble.

Ini adalah kali kedua situasi ini berlaku dalam sejarah kejohanan.

Kali pertama ia berlaku ialah pada tahun 1884 dan 1885 - pertembungan antara Blackburn dan Queen's Park Rangers di Kennington Oval, London.

Blackburn memenangi final pertama 2-1, dengan gol jaringan Joe Sowerbutts dan Jimmy Forrest memberikan mereka gelaran Piala FA pertama.

Blackburn mempertahankan kejuaraan dengan kemenangan 2-0 ke atas QPR pada tahun berikutnya hasil jaringan Forrest dan James Brown.

United, juara 12 kali pertandingan tertua di dunia itu, belum pernah menjulang trofi Piala FA sejak tahun 2016 - ketika dikendali Louis van Gaal.

Dua kali mereka mara ke final selepas itu - dengan Jose Mourinho pada tahun 2018 dan tewas kepada Chelsea 1-0, serta bersama Ten Hag tahun lalu.

Man City pula memenanginya sebanyak tujuh kali, tiga daripadanya sejak tahun 2011. - AGENSI

Berita Harian X