Isnin, 22 April 2024 | 4:27pm
Reaksi Garrido ketika skuad negara menentang Vietnam. - Foto FB FAM.
Reaksi Garrido ketika skuad negara menentang Vietnam. - Foto FB FAM.

Tiada lagi 'peringatan' daripada Garrido

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Juan Torres Garrido percaya anak buahnya akan tetap memberikan yang terbaik meskipun aksi berdepan Kuwait malam esok tidak lagi memberi sebarang makna di Piala Asia B-23 2024.

Justeru, Garrido menjelaskan tiada apa-apa 'peringatan' perlu diberikan kepada anak buahnya kerana mereka tahu tugas yang perlu dilakukan apabila membawa nama negara di pentas tertinggi seperti itu.

"Pemain tetap bermotivasi dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Mereka bukan sahaja datang ke sini untuk bermain tetapi juga mewakili negara.

"Jadi tiada apa-apa perkara istimewa yang saya perlu lakukan kerana pemain tetap bersemangat untuk bermain demi negara," kata Garrido.

Sebagai rekod, skuad Harimau Muda akan menentang Kuwait dalam aksi pelengkap jadual Kumpulan D di Stadium Al Janoub, malam esok.

Terdahulu, impian skuad B-23 negara menempah slot ke pusingan seterusnya lebur selepas mereka tumbang 0-2 di tangan Vietnam pada aksi kedua di Stadium Antarabangsa Khalifa, Sabtu lalu.

Ini menyaksikan mereka tewas dua aksi berturut-turut di peringkat kumpulan selepas mereka tumbang dengan jaringan sama pada aksi pembukaan berdepan Uzbekistan pada Rabu.

Selepas dua perlawanan, mereka menghuni tangga ketiga Kumpulan D tanpa sebarang mata namun mengatasi Kuwait menerusi perbezaan jaringan.

Berita Harian X