Isnin, 22 April 2024 | 8:32am
Pemain Manchester United meraikan kemenangan 4-2 menerusi penentuan penalti ke atas Coventry City pada separuh akhir Piala FA Inggeris di Stadium Wembley, London lewat malam tadi. – Foto premierleague.com
Pemain Manchester United meraikan kemenangan 4-2 menerusi penentuan penalti ke atas Coventry City pada separuh akhir Piala FA Inggeris di Stadium Wembley, London lewat malam tadi. – Foto premierleague.com

Ten Hag lega, kerapuhan United terserlah lagi

LONDON: Kerapuhan Manchester United terserlah ketika mereka hampir kalah aksi separuh akhir Piala FA Inggeris yang mereka kuasai menentang kelab divisyen dua Coventry City lewat malam tadi.

Mereka berjaya mara ke final menentang Manchester City selepas menang menerusi penentuan penalti sesudah mendahului 3-0 selepas 71 minit dan ia kelihatan seperti satu kemenangan yang menghampakan.

Coventry, seperti kebanyakan pasukan musim ini, mendedahkan kerapuhan jentera tengah United dan hanya beberapa sentimeter daripada melakar satu daripada kebangkitan terulung sepanjang zaman – gol kemenangan Victor Torp dibatalkan kerana ofsaid pada minit terakhir masa tambahan.

Ketika United bergelut pada lewat permainan, peminat Coventry melaungkan nyanyian "anda akan dipecat pada esok pagi" ketika pengurus United, Erik ten Hag tergamam di tepi garisan padang.

Pengendali dari Belanda itu kelihatan menarik nafas lega apabila Rasmus Hojlund merembat masuk sepakan penalti kemenangan di depan peminat United – namun persoalan mengenai masa depannya akan bertambah.

Masa depan Erik ten Hag sebagai pengurus Manchester United masih tidak menentu sekalipun beliau mengemudi kemaraan ke final Piala FA selepas menang aksi separuh akhir ke atas Coventry City di Stadium Wembley, London lewat malam tadi. – Foto AFP
Masa depan Erik ten Hag sebagai pengurus Manchester United masih tidak menentu sekalipun beliau mengemudi kemaraan ke final Piala FA selepas menang aksi separuh akhir ke atas Coventry City di Stadium Wembley, London lewat malam tadi. – Foto AFP

"Ia satu perlawanan luar biasa, permainan yang pelik juga. Kami menguasai bagi satu tempoh yang panjang dan kemudian melepaskan gol pada tempoh terakhir perlawanan. Kami mempamerkan daya tahan untuk memenangi penentuan penalti," kata Ten Hag.

"Kami menguasai selama 75 minit dan perlu memberi pujian kepada Coventry mengenai apa yang mereka lakukan dalam 15 minit terakhir.

"Kami perlu meningkat. Kami banyak bercakap mengenai perkara ini. Pertamanya anda perlu meletakkan diri anda dalam posisi menang tetapi kemudian anda perlu mengekalkannya hingga ke penamat. Ketika ini kami melakukan kesilapan dan tidak mengekalkan tanggungjawab kami."

United perlu meningkat secara drastik jika mereka mahu mengelak ulangan kekalahan pada final tahun lalu di tangan City, sekalipun selepas menang menakjubkan pada suku akhir menentang Liverpool dan kini terselamat ketika kemenangan tipis ke atas Coventry memungkinkan mereka kembali percaya boleh mengukir nama mereka di trofi itu.

"Ia satu perasaan yang bercampur-baur. Kami boleh bergembira dengan pencapaian, layak ke final, ia amat besar," kata Ten Hag, yang mengemudi United ke dua final Piala FA dan final Piala Liga, yang dimenangi mereka, dalam dua musim pertamanya.

"Saya mahu memenanginya. Saya pasti kami ada peluang baik untuk menang final kali ini, sekalipun kami berdepan pasukan terbaik di dunia. Kami juga ada peluang. Kami membuktikannya musim ini." – AFP

Berita Harian X