Isnin, 22 April 2024 | 6:18am
Penyerang Liverpool, Diogo Jota (kanan) merembat masuk gol ketiga ketika menundukkan Fulham 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Liverpool, Diogo Jota (kanan) merembat masuk gol ketiga ketika menundukkan Fulham 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Peluang Liverpool kembali cerah

LONDON: Liverpool kembali berada di landasan tepat selepas seminggu yang sengsara apabila kemenangan 3-1 di Fulham menghidupkan semula cabaran mereka memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris manakala Nottingham Forest menghentam pegawai ketika kekalahan 2-0 di tangan Everton awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Jurgen Klopp tersingkir pada suku akhir Liga Europa kepada Atalanta awal pagi Jumaat lalu selepas mengalami kekalahan di laman sendiri dalam liga di tangan Crystal Palace hujung minggu lalu.

Hasrat The Reds untuk memberikan Klopp hadiah perpisahan mengagumkan agak samar tetapi mereka bangkit dalam perebutan kejuaraan dengan kemenangan pertama yang amat dituntut dalam tiga aksi liga.

Liverpool kini di tangga kedua, di belakang pendahulu Arsenal menerusi perbezaan jaringan dan satu mata di depan pasukan tangga ketiga, Manchester City yang bagaimanapun beraksi kurang satu perlawanan berbanding dua pencabar mereka.

Berikutnya bagi Liverpool adalah pertembungan seteru setempat di Everton awal pagi Khamis ini, manakala Arsenal melayan kunjungan Chelsea sehari sebelumnya dan City bertandang ke Brighton pada awal pagi Jumaat.

Pemain tengah Liverpool dari Belanda, Ryan Gravenberch (kiri) meraikan bersama rakan sepasukan selepas menyumbat masuk gol kedua ketika menentang Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London awal pagi tadi. – Foto AFP

"Fulham biasanya mencetus masalah buat kami jadi ia satu persembahan bagus tepat pada masanya," kata Klopp.

"Kami mahu kekal dalam perebutan itu, ia jelas. Arsenal menang semalam, Manchester City akan menang baki satu perlawanan itu, jadi kami perlu memenangi perlawanan dan itulah yang akan kami cuba lakukan."

Pasukan Klopp berdepan keletihan dalam beberapa minggu kebelakangan dan beliau menggugurkan Mohamed Salah ke bangku simpanan dalam antara lima perubahan dilakukannya.

Trent Alexander-Arnold meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-32 dengan satu sepakan percuma menakjubkan yang menerjah ke penjuru gawang.

Pertahanan Fulham, Timothy Castagne menyamakan kedudukan dari jarak dekat selepas Liverpool gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada masa kecederaan babak pertama.

Pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold meledak gol pertama menerusi sepakan percuma pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Fulham di Craven Cottage, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold meledak gol pertama menerusi sepakan percuma pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Fulham di Craven Cottage, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Ryan Gravenberch mengembalikan kelebihan Liverpool pada minit ke-53 dengan satu rembatan kencang dari penjuru kotak penalti bagi gol pertamanya dalam liga.

Diogo Jota melengkapkan kemenangan pada minit ke-72, merembat leret satu penamat klinikal ke penjuru gol.

Everton membuat langkahan besar dalam meneruskan pembabitan mereka selama 70 tahun dalam liga utama Inggeris dengan kemenangan penuh kontroversi ke atas Forest.

Idrissa Gueye dan Dwight McNeil menjaringkan gol yang membolehkan The Toffees berada lima mata di atas zon penyingkiran.

Forest kekal hanya satu mata di atas zon penyingkiran dan kecewa apabila dinafikan tiga rayuan penalti yang kuat.

Pemain Everton, Dwight McNeil (kanan) menyumbat gol kedua menentang Nottingham Forest pada aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, Liverpool lewat malam tadi. – Foto REUTERS
Pemain Everton, Dwight McNeil (kanan) menyumbat gol kedua menentang Nottingham Forest pada aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, Liverpool lewat malam tadi. – Foto REUTERS

Akaun rasmi kelab itu dalam laman media X mempersoalkan integriti Liga Perdana dengan mendakwa pegawai VAR adalah seorang peminat kelab yang bergelut dengan penyingkiran Luton.

"Kami memberi amaran kepada PGMOL (badan induk pengadil) VAR adalah seorang peminat Luton sebelum perlawanan tetapi mereka tidak mengendahkannya," kata Forest dalam satu kenyataan.

"Kesabaran kami sudah diuji beberapa kali. NFFC akan mempertimbangkan segala pilihan yang ada."

Aston Villa mengukuhkan peluang mereka untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan selepas menang 3-1 ke atas Bournemouth.

Anak buah Unai Emery bangkit menerusi gol Morgan Rogers, Moussa Diaby dan Leon Bailey selepas Dominic Solanke meletakkan pelawat di depan menerusi sepakan penalti. – AFP

Berita Harian X