Ahad, 21 April 2024 | 8:01pm
Sebahagian daripada ahli kelab penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang meraikan pelancaran pasukan di Stadium Darul Aman pada musim lalu. - Foto NSTP/IZZALI ISMAIL
Sebahagian daripada ahli kelab penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang meraikan pelancaran pasukan di Stadium Darul Aman pada musim lalu. - Foto NSTP/IZZALI ISMAIL

Kedah mahu bersemuka dengan pemain ke-12

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus menyemarakkan semangat musim baharu apabila bakal menganjurkan sesi dialog bersama penyokong sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya, 10 Mei ini.

Sesi antara pihak pengurusan KDA dan kelab-kelab penyokong Sang Kenari secara bersemuka berkenaan akan diadakan pada 5 Mei ini dengan kehadiran pemilik majoriti Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar di sini.

Menurut media KDA FC, sesi ramah mesra dan dialog itu bertujuan untuk memberi penjelasan hala tuju kelab pada musim baharu dan bertukar pandangan dengan penyokong.

"KDA FC dengan rendah diri ingin menjemput semua kelab penyokong untuk menghadiri sesi berkenaan pada jam 5 petang.

"Bagi memberi laluan kepada semua, dihadkan tiga wakil kelab penyokong dalam sesi perjumpaan yang akan diaturkan ini pada tempat yang akan diumumkan nanti," katanya.

Pihak pengurusan kelab juga berkata sesi dialog dan beramah mesra ini usaha untuk terus menjalinkan ikatan perhubungan yang lebih rapat antara kelab dan penyokong Sang Kenari.

Berdasarkan rekod, Kedah mencatatkan lebih 20 kelab penyokong yang berdaftar dan sentiasa berdiri teguh dalam memberi sokongan mereka kepada pasukan.

Berita Harian X