Ahad, 21 April 2024 | 7:01pm
Pemain Terengganu FC meraikan jaringan pada aksi Empat Penjuru menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. NSTP/GHAZALI KORI
Pemain Terengganu FC meraikan jaringan pada aksi Empat Penjuru menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. NSTP/GHAZALI KORI

Steinbruckner sudah miliki barisan impian

KUALA TERENGGANU: Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner akui beliau sudah ada bayangan kesebelasan utama pasukannya yang bakal membawa cabaran skuad itu dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Jelas jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu, selepas lima perlawanan persahabatan termasuk dua aksi dalam saingan Empat Penjuru, beliau sudah mendapat gambaran awal pemain yang bakal menggalas tugas berkenaan.

Bagaimanapun beliau akui masih lagi memberi peluang kepada semua pemainnya untuk membuktikan kemampuan masing-masing tatkala aksi Liga Super berbaki kurang tiga minggu lagi.

Lagipun jelasnya, beliau juga masih mencari kombinasi terbaik untuk membina barisan terkuat terutama dengan kehadiran tujuh pemain baharu termasuk empat tonggak import dan dua pemain Harimau Malaya.

"Tapi kami masih lagi memberi peluang kepada semua pemain untuk membuktikan karakter masing-masing sebelum Liga Super bermula pada 11 Mei depan menentang Perak FC," katanya.

Pada aksi Empat Penjuru yang kini masih berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, naib juara Piala Malaysia musim lalu itu menang tipis 1-0 menumpaskan Penang FC dan terikat 1-1 dengan Kedah Darul Aman FC.

Berita Harian X