Ahad, 21 April 2024 | 4:32pm
Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad (kiri) dan pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh. FOTO Sri Pahang FC
Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad (kiri) dan pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh. FOTO Sri Pahang FC

Prestasi pemain muda buat Fandi tersenyum

KUANTAN: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad gembira dengan prestasi yang diperagakan pemain dalam dua aksi persahabatan berdepan dua kelab Singapura, baru-baru ini.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, kedua-dua aksi itu membantu pasukan membentuk persefahaman antara gabungan pemain lama dan baharu.

"Alhamdulillah, saya gembira dengan keputusan perlawanan terutama aksi kedua yang menyaksikan kombinasi antara pemain semakin menunjukkan perkembangan positif.

"Kita banyak membuka peluang melakukan jaringan tetapi jentera hadapan agak kurang tajam kerana sepatutnya boleh menjaringkan tiga atau empat gol ketika berdepan Geylang International FC.

"Namun, syabas kepada pemain muda yang menampilkan persembahan meyakinkan dan baik sekali terutama sentuhan jaringan Adam Aliff," katanya.

Mengulas perlawanan pertama berdepan Albirex Niigata, Fandi berkata, anak buahnya kurang selesa dengan keadaan padang sintetik yang menyebabkan memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri.

Katanya, pada masa sama, skuad kendaliannya itu hanya bermain 35 minit yang menyaksikan perlawanan terpaksa dihentikan kerana keadaan cuaca buruk.

Skuad Tok Gajah menewaskan Albirex Niigata 1-0 menerusi jaringan pemain import, Aleksandar Cvetkovic manakala Adam menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Geylang International.

Berita Harian X