Ahad, 21 April 2024 | 2:19pm
Pemain Malaysia (kiri) dan Vietnam berebut bola pada aksi Piala Asia B-23.
Pemain Malaysia (kiri) dan Vietnam berebut bola pada aksi Piala Asia B-23.

Malaysia beri kami tugas sukar - Anh Tuan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun Vietnam, Hoang Anh Tuan mengakui Malaysia memberi kesukaran kepada pasukannya sebelum meraih kemenangan 2-0 dalam aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Vietnam mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Asia B-23 2024 bersama Uzbekistan manakala Malaysia dan Kuwait terkandas di peringkat Kumpulan D.

Anh Tuan menjelaskan bahawa pertukaran taktikal yang dilakukan pada separuh masa kedua membolehkan pasukannya meraih tiga mata penting berdepan Malaysia.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan, pemain melakukan tugas yang baik. Mereka mengikut taktikal dan sangat berdisiplin. Ia keputusan yang sangat bagus untuk Vietnam.

"Sebenarnya ia perlawanan yang sukar dan seperti yang saya katakan sebelum ini bahawa tiada pasukan lemah dalam kumpulan ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Vietnam berada di depan pada minit ke-39 menerusi sepakan percuma Khuat Van Khang sebelum Vo Hoang Minh Khoa menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-60 untuk mengesahkan kemenangan pasukannya.

Skuad Anh Tuan menghuni tangga kedua dan berkongsi enam mata bersama Uzbekistan yang berada di kedudukan teratas dengan kedua-dua pasukan itu akan menentukan juara kumpulan dalam aksi terakhir di Stadium Antarabangsa Khalifa, Selasa ini.

Malaysia dan Kuwait yang berada di tangga ketiga dan keempat pula tanpa sebarang mata dan akan mengharungi aksi pelengkap jadual di Stadium Al Janoub juga pada waktu yang sama, Selasa ini.

Berita Harian X