Ahad, 21 April 2024 | 10:46am
Pengendali Coventry City, Mark Robins pernah beraksi untuk Manchester United sebagai penyerang dan akan bertemu bekas pasukannya pada separuh akhir Piala FA di Wembley malam ini. - Foto AFP
Pengendali Coventry City, Mark Robins pernah beraksi untuk Manchester United sebagai penyerang dan akan bertemu bekas pasukannya pada separuh akhir Piala FA di Wembley malam ini. - Foto AFP

Coventry mahu ulangi kejayaan Piala FA 1987

LONDON: Coventry City akan cuba membawa semangat Piala FA 1987 apabila berdepan Manchester United pada aksi separuh akhir di Stadium Wembley malam ini.

Kelab Midlands itu memenangi kejuaraan tunggal mereka pada tahun berkenaan, menewaskan Tottenham Hotspur di peringkat akhir, tetapi prestasi mula merosot sehingga terpaksa bermain di divisyen empat enam tahun lalu.

Bagaimanapun di bawah kendalian Mark Robins, The Sky Blues berada di landasan betul dan musim lalu begitu hampir untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas tersingkir sejak tahun 2001.

Kepulangan ke liga elit Inggeris itu adalah keutamaan mereka tetapi malam ini tumpuan diberikan kepada Piala FA dengan United juga bergelut mengulangi kegemilangan lalu.

"Kami sedar yang mereka adalah pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini dan mereka menjangkakan kemenangan.

"Kami tahu perkara itu dan apa yang bakal menanti kami, tetapi kami perlu memberi tentangan. Kami perlu faham bagaimana perlawanan itu akan berlangsung dan apa kepentingannya.

"Tidak perlu ada rasa gerun dan ia akan menjadi salah satu perlawanan terbesar bagi kebanyakan pemain kami," kata Robins yang pernah menjadi penyerang Man United.

Coventry hanya pernah mara ke peringkat separuh akhir Piala FA sebanyak dua kali dalam sejarah kelab, dan kali terakhir beraksi di Wembley ialah ketika tewas kepada Luton Town dalam aksi final play-off Liga Kejuaraan tahun lalu.

"Kami mempunyai pengalaman di Wembley, dengan pelbagai peringkat kejayaan, selain tahun lalu ia sangat positif dan kami tidak sabar untuk aksi hujung minggu ini," katanya.

Coventry mengejutkan Wolverhampton Wanderers di peringkat suku akhir tetapi Robins berkata Man United bakal memberi rintangan lebih besar. - REUTERS

Berita Harian X