Ahad, 21 April 2024 | 8:53am
Pengendali Wolverhampton Wanderers, Gary O’Neil (kiri) dan pengendali Arsenal, Mikel Arteta sebelum aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Molineux, Wolverhampton. - Foto REUTERS
Pengendali Wolverhampton Wanderers, Gary O’Neil (kiri) dan pengendali Arsenal, Mikel Arteta sebelum aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Molineux, Wolverhampton. - Foto REUTERS

Arteta bangga reaksi Arsenal benam Wolves

WOLVERHAMPTON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta bangga melihat kebangkitan anak buahnya yang merakam kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah.

Kekalahan di tangan Aston Villa pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris mereka membantutkan misi kejuaraan musim ini dan kekalahan kepada Bayern Munich di suku akhir menutup peluang untuk satu lagi kejuaraan.

Bagaimanapun kemenangan ke atas Wolves melonjak kembali Arsenal ke puncak liga, satu mata di depan Manchester City yang bermain kurang satu perlawanan.

"Ia tindak balas yang baik, sangat bangga dengan mereka. Kami memberikan reaksi yang tepat. Kami berhak menang perlawanan ini dan satu lagi kemenangan bersih.

"Memang kecewa tewas kepada Bayern - jurang yang kecil tetapi kami mempunyai baki lima perlawanan dan kembali di puncak liga," kata Arteta.

Arsenal mendahului liga pada 74 mata, tetapi bermain lebih satu perlawanan berbanding City dan Liverpool.

"Kami sangat konsisten di bahagian pertahanan dan itu faktor penting untuk memenangi perlawanan di liga ini. Apa yang boleh kami lakukan ialah memenangi perlawanan kami," katanya.

Pengendali Wolves, Gary O'Neil turut gembira dengan cara anak buahnya memberi tekanan kepada Arsenal, hanya dibolosi di saat akhir setiap babak.

"Bukan selalu anda gembira dan bangga selepas kalah tetapi dalam situasi kami, persembahan begini adalah satu usaha yang menakjubkan.

"Apa yang mengecewakan ialah gol kedua, kami tidak sepatutnya tewas 2-0. Ini adalah pasukan muda yang mampu memberi saingan kepada pasukan-pasukan besar di negara ini," kata O'Neil. - REUTERS

Berita Harian X