Ahad, 21 April 2024 | 8:37am
Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino mahu segera melupakan musim mengecewakan selepas tewas 1-0 kepada Manchester City pada separuh akhir Piala FA. - Foto REUTERS
Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino mahu segera melupakan musim mengecewakan selepas tewas 1-0 kepada Manchester City pada separuh akhir Piala FA. - Foto REUTERS

Jangan banding sejarah Chelsea - Pochettino

LONDON: Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino mahu segera melupakan musim mengecewakan selepas tewas 1-0 kepada Manchester City pada separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley awal pagi tadi.

Kekalahan itu menamatkan impian The Blues untuk menebus kekecewaan liga dengan kilauan trofi apabila turut tewas kepada Liverpool pada final Piala Liga dua bulan lalu.

Pengendali dari Argentina itu, yang mengambil alih pasukan di Stamford Bridge hampir setahun lalu, kini mengharapkan untuk menamatkan saingan liga di tangga terbaik.

"Hari ini kami bersaing dengan baik. Saya tidak boleh katakan yang kami adalah pasukan lebih baik kerana ia sukar diukur.

"Apa yang paling penting ialah kami memberikan saingan sengit. Kami perlu mengambil aspek positif daripada perlawanan ini.

"Pemain-pemain ini perlu belajar daripada perlawanan sebegini untuk menjadi lebih baik," kata Pochettino.

Chelsea yang berbelanja besar membeli pemain-pemain sepanjang dua musim lalu sejak diambil alih oleh Todd Boehly, beraksi tidak konsisten dan di bawah tahap sebenar musim ini.

Selepas menjaringkan enam gol tanpa dibolosi Isnin lalu dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Everton, mereka terlepas deretan peluang menentang City untuk merebut tempat ke final kedua musim ini.

The Blues dan peminatnya sudah biasa menikmati kejayaan sejak 20 tahun lalu ketika kelab dimiliki Roman Abramovich.

Sepanjang tempoh itu, Chelsea memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan dua Liga Juara-Juara Eropah serta lima Piala FA.

Namun menurut Pochettino: "Kita perlu menilai pasukan dengan cara berbeza dan tidak membandingkannya dengan sejarah Chelsea." - REUTERS

Berita Harian X