Ahad, 21 April 2024 | 8:16am
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengkritik jadual Piala FA selepas pasukannya menewaskan Chelsea 1-0 awal pagi tadi. - Foto AFP
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengkritik jadual Piala FA selepas pasukannya menewaskan Chelsea 1-0 awal pagi tadi. - Foto AFP
Pemain Manchester City, Bernardo Silva meraikan jaringan ketika aksi separuh akhir Piala FA menentang Chelsea di Stadium Wembley, London. - Foto REUTERS
Pemain Manchester City, Bernardo Silva meraikan jaringan ketika aksi separuh akhir Piala FA menentang Chelsea di Stadium Wembley, London. - Foto REUTERS

Guardiola kritik jadual Piala FA

LONDON: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengkritik jadual Piala FA selepas pasukannya menewaskan Chelsea 1-0 awal pagi tadi untuk mara ke final, tiga hari selepas aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid.

Jaringan lewat permainan Bernardo Silva memastikan juara treble itu masih berpeluang mempertahankan dua lagi kejuaraan, selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara menerusi sepakan penalti di tangan Madrid.

Chelsea hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila deretan peluang gagal disempurnakan, manakala City yang turun tanpa penjaring terbanyaknya, Erling Haaland, beraksi di bawah tahap sebenar mereka.

"Tidak wajar untuk membiarkan kami bermain hari ini. Ia mustahil, untuk kesihatan pemain-pemain.

"Ia bukan sesuatu yang normal. 120 minit, emosi menentang Madrid, cara kami tewas, jujur saya katakan.

"Saya tahu negara ini sangat menghargai (Piala FA) tetapi ia demi kesihatan pemain-pemain. Saya tidak faham bagaimana kami boleh terselamat hari ini," kata Guardiola.

Guardiola tidak faham mengapa perlawanan menentang Chelsea tidak diadakan hari ini, berbanding Manchester United dan kelab Liga Kejuaraan, Coventry City yang tidak mempunyai aksi Eropah di pertengahan minggu.

"Apa yang mereka lakukan hari ini adalah antara perkara paling hebat saya pernah lihat daripada kumpulan pemain selepas 120 minit beraksi pada Rabu.

"Saya hanya mahu melindungi pemain-pemain saya. Saya bukan mahukan layanan istimewa atau keutamaan," katanya.

Kekalahan di tangan Real menamatkan misi mempertahankan treble City, tetapi jaringan Silva memastikan mereka masih berpeluang mengekalkan kejuaraan Piala FA dan Liga Perdana Inggeris. - REUTERS

Berita Harian X