Sabtu, 20 April 2024 | 11:02pm
Antara aksi skuad B-23 negara menentang Vietnam di Piala Asia B-23 2024 di Stadium Antarabangsa Khalifa, sebentar tadi. Foto FAM
Antara aksi skuad B-23 negara menentang Vietnam di Piala Asia B-23 2024 di Stadium Antarabangsa Khalifa, sebentar tadi. Foto FAM

Giliran Vietnam 'tibai' Harimau Muda

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara secara tidak rasminya boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Asia B-23 2024 apabila tumbang 0-2 di tangan Vietnam pada aksi kedua Kumpulan D di Stadium Antarabangsa Khalifa, sebentar tadi.

Dua kekalahan berturut-turut ini menyaksikan skuad Harimau Muda semakin sukar untuk memburu slot ke pusingan seterusnya memandangkan nasib mereka bergantung kepada keputusan pasukan lain selain perbezaan jaringan besar.

Malah, mereka akan 'bungkus' awal sekali gus mengulangi 'tragedi' edisi 2022 sekiranya Uzbekistan berjaya menewaskan Kuwait dalam satu lagi aksi Kumpulan D di Stadium Al-Janoub, sebentar lagi.

Pada aksi terbabit, Malaysia menghantar amaran seawal minit ketiga menerusi percubaan leret Fergus Tierney namun hanya tersasar sedikit di bahagian kanan pintu gol Vietnam.

Penjaga gol negara, Azim Al Amin cemerlang memastikan gawang negara tidak dibolosi apabila menepis tandukan Vo Hoang Minh yang menyambut hantaran lintang dari sebelah sayap kiri mereka pada minit ke-17.

Muhammad Najmudin Akmal mensia-siakan peluang untuk meledak gol pembukaan pada minit ke-21 selepas percubaannya melambung tinggi meskipun penjaga gol Vietnam, Quan Van Chuan sudah keluar daripada kawasannya.

Vietnam akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-38 selepas sepakan percuma lencong diambil Khuat Van Khang membolosi gawang negara untuk mereka mendahului 1-0 pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus mengasak untuk memburu gol penyamaan namun Vietnam tenang selepas tiada percubaan berbahaya dapat dilakukan Malaysia.

'Perangai' sama terus menghantui Malaysia apabila mereka menghadiahkan sepakan penalti dalam empat aksi berturut-turut selepas Ubaidullah Shamsul menjatuhkan Bui Vi Hao pada minit ke-58.

Peluang itu disempurnakan sebaik mungkin oleh Hoang Minh menyumbat gol kedua Vietnam dan enam mata daripada dua perlawanan menghantar mereka ke pusingan suku akhir Piala Asia B-23 2024.

Selepas ini, Malaysia akan melengkapkan kempen Piala Asia B-23 2024 menentang Kuwait di Stadium Al-Janoub sementara Uzbekistan akan berdepan Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Selasa.

Berita Harian X