Sabtu, 20 April 2024 | 9:59pm
Penjaring gol pertama Vietnam, Khuat Van Khang. Foto AFC
Penjaring gol pertama Vietnam, Khuat Van Khang. Foto AFC

Piala Asia B-23: Malaysia ketinggalan satu gol

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara ketinggalan 0-1 menentang Vietnam selepas tamat babak pertama Piala Asia B-23 2024 di Stadium Antarabangsa Khalifa, sebentar tadi.

Ini menyaksikan skuad bimbingan Juan Torres Garrido berdepan cabaran besar untuk bangkit pada babak kedua jika tidak mahu 'bungkus' awal buat kali kedua berturut-turut selepas edisi 2022.

Berbaki 45 minit lagi, skuad negara perlu sekurang-kurangnya mengutip satu mata bagi menghidupkan sedikit peluang untuk mengintai slot ke suku akhir.

Pada aksi terbabit, Malaysia menghantar amaran seawal minit ketiga menerusi percubaan leret Fergus Tierney namun hanya tersasar sedikit di bahagian kanan pintu gol Vietnam.

Penjaga gol negara, Azim Al Amin cemerlang memastikan gawang negara tidak dibolosi apabila menepis tandukan Vo Hoang Minh yang menyambut hantaran lintang dari sebelah sayap kiri mereka pada minit ke-17.

Muhammad Najmudin Akmal mensia-siakan peluang untuk meledak gol pembukaan pada minit ke-21 selepas percubaannya melambung tinggi meskipun penjaga gol Vietnam, Quan Van Chuan sudah keluar daripada kawasannya.

Vietnam akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-38 selepas sepakan percuma lencong diambil Khuat Van Khang membolosi gawang negara untuk mereka mendahului 1-0 pada babak pertama.

Berita Harian X