Sabtu, 20 April 2024 | 3:02pm
VAR digunakan ketika simulasi perlawanan bagi persiapan menjelang saingan Liga Malaysia 2024 di Stadium UiTM Shah Alam semalam. - Foto Bernama
VAR digunakan ketika simulasi perlawanan bagi persiapan menjelang saingan Liga Malaysia 2024 di Stadium UiTM Shah Alam semalam. - Foto Bernama

Hanya tunggu keputusan FIFA

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya menunggu kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa FIFA (FIFA) untuk menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.

Penilaian wakil FIFA yang berada di Malaysia terarah kepada ujian VAR yang sedang dilakukan sejak kelmarin (Khamis) hingga esok (Ahad) sebelum memberikan 'lesen' kepada pengadil Malaysia menggunakan teknologi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya mahu mengenal pasti masalah dan isu yang bakal timbul dengan lapan perlawanan pramusim pasukan Liga M akan menguji Sistem VAR.

Beliau menjangkakan akan ada isu yang timbul daripada tempoh percubaan itu dan ia akan diambil kira untuk diperbaiki bagi kelancaran penggunaan sebenar VAR dalam saingan Liga yang bakal bermula 10 Mei depan.

"Terlalu awal untuk saya katakan (dapat kelulusan dari FIFA), ia bukan kepakaran saya. Mungkin unit pengadil FAM lebih sesuai untuk membuat penilaian itu.

"MFL hanya menyediakan teknologi dan keperluan infra yang diperlukan bagi pelaksanaan VAR. Kita buat yang terbaik mengikut bajet yang ada selain berdepan kekangan infrastruktur.

"Tahun pertama (laksana VAR) mungkin ada isu yang terpaksa dihadapi di gelanggang tetapi kita akan hadapi dengan hati terbuka dan mencari langkah penyelesaian terbaik berdasarkan pengalaman dalam perlawanan percubaan," katanya.

Stuart berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sesi simulasi VAR kepada pihak berkepentingan seperti komisioner perlawanan, jurulatih dan pegawai pasukan di Stadium UiTM di sini, semalam.

Semalam, BH Sukan melaporkan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil badan induk itu memaklumkan pihaknya sudah bersedia untuk menggunakan VAR buat kali pertama dalam Liga M musim ini.

Selain itu, Stuart menjelaskan setakat ini perbelanjaan antara RM5 juta hingga RM6 juta sudah digunakan untuk VAR, manakala bajet operasi untuk setahun bakal menelan kos antara RM3.2 juta hingga RM3.4 juta.

"Ia bajet sahaja, bukan kos sebenar tetapi kita harap dapat kurangkan. Kita tak tahu keperluan yang kita kena ada seperti alat ganti, tambahan kru atau keperluan tempatan dari pelaksanaan VAR, jadi kami harap bajet itu cukup," katanya.

Berita Harian X