Sabtu, 20 April 2024 | 9:41am
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mahu anak buahnya bersedia dengan apa jua situasi. - Foto AGENSI
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mahu anak buahnya bersedia dengan apa jua situasi. - Foto AGENSI

Arteta belum putus harapan

LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta berkata dia akan terus bersikap positif selepas harapan untuk memenangi trofi musim ini terjejas susulan kekalahan Liga Perdana Inggeris di tangan Aston Villa dan disingkirkan Bayern Munich pada suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Arsenal yang berada di tangga kedua, kini ketinggalan dua mata di belakang juara bertahan, Manchester City, dengan enam perlawanan berbaki musim ini.

"Saya kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang berada di hadapan kami. Kami kini di belakang Manchester City dan akan terus berjuang.

"Kita lihat apa yang boleh dilakukan sekarang, berjuang untuk apa yang kami mahukan - memenangi Liga Perdana Inggeris," kata Arteta menjelang aksi menentang Wolverhampton Wanderers.

Pengendali dari Sepanyol itu berkata, dia tidak memikirkan sama City akan tercicir mata, tetapi mahu Arsenal bersedia dengan apa situasi sekalipun.

Menurut Arteta, tiada kecederaan baharu dalam skuadnya tetapi Jurrien Timber, yang cedera sejak Ogos lalu, belum sedia untuk beraksi malam ini.

"Masih terlalu awal buatnya. Dia akan terus bermain untuk skuad bawah 23 tahun.

"Dia kelihatan bagus dalam latihan. Kini dia perlu meningkatkan kecergasannya dan bersedia. Yang lain semuanya baik," katanya. - REUTERS

Berita Harian X