Sabtu, 20 April 2024 | 7:27am
Pengendali Manchester United, Erik ten Hag (kiri) menerima permohonan maaf Alejandro Garnacho. - Foto AGENSI
Pengendali Manchester United, Erik ten Hag (kiri) menerima permohonan maaf Alejandro Garnacho. - Foto AGENSI

Ten Hag anggap isu Garnacho selesai

LONDON: Erik ten Hag berkata skuad Manchester United tidak terjejas selepas Alejandro Garnacho memohon maaf di atas tindakannya menyukai hantaran media sosial yang mengkritik cara pengendali itu melayannya.

Garnacho menyukai dua hantaran di laman sosial X yang menyelar keputusan Ten Hag mengeluarkannya ketika keputusan seri 2-2 di Bournemouth.

Pemain Argentina berusia 19 tahun itu kemudian menarik semula reaksinya terhadap hantaran berkenaan dan meminta maaf kepada Ten Hag, yang berkata Garnacho akan kekal terbabit untuk aksi separuh akhir Piala FA menentang Coventry City esok.

Ditanya sama ada insiden Garnacho adalah bukti bantahan pemain-pemain terhadapnya, Ten Hag berkata: "Saya tidak akan kata begitu.

"Alejandro adalah pemain muda, masih banyak perlu dipelajarinya. Dia sudah meminta maaf dan ia perlu dilupakan."

Tindakan Ten Hag terhadap Garnacho kali ini membuktikan pengendali itu juga sudah belajar daripada kesilapannya susulan kes membabitkan Jadon Sancho awal musim ini.

Sancho diarah berlatih bersendirian untuk beberapa bulan selepas mengkritik Ten Hag kerana merehatkannya ketika kekalahan di Arsenal pada September.

Pemain sayap England itu kemudian menemui kembali sentuhannya sebagai pemain pinjaman di Borussia Dortmund, yang berjaya mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah minggu ini.

"Kami tahu Jadon Sancho adalah pemain bola sepak yang hebat, jadi ia bukan sesuatu yang mengejutkan bagi kami, ia bukan satu isu.

"Sudah tentu, saya mengikuti perkembangan bola sepak antarabangsa dan memantau pemain-pemain yang dipinjamkan ke kelab-kelab lain.

"Ia perlawanan hebat, Dortmund menentang Atletico Madrid, persembahan hebat oleh Dortmund dan berita baik buat Jadon. Dia mempunyai sumbangan dalam kemenangan Dortmund," kata Ten Hag.

Ten Hag yang bergelut menyelamatkan jawatannya di Old Trafford, perlu mengelak daripada dikejutkan Coventry di Wembley esok. - AFP

Berita Harian X