Jumaat, 19 April 2024 | 6:29pm
Skuad Harimau Malaya B-23 kendalian Juan Torres Garrido menjalani latihan di Al Ersal, Doha. - Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya B-23 kendalian Juan Torres Garrido menjalani latihan di Al Ersal, Doha. - Foto FB FAM

Jangan lagi 'sedekah' penalti

KUALA LUMPUR: Tindakan pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara yang gemar memberikan sepakan penalti kepada pemain lawan tampak 'memeningkan' kepala pengendalinya, Juan Torres Garrido menjelang aksi kedua Piala Asia B-23 berdepan Vietnam, malam esok.

Skuad 'Harimau Muda' memberikan sepakan penalti dalam tiga perlawanan berturut-turut bermula dengan dua aksi persahabatan menentang China dan Qatar sebelum satu penalti pada aksi pembukaan berdepan Uzbekistan, Rabu lalu.

Situasi ini jelas menjadi satu kebimbangan yang perlu diperbaiki barisan pemain negara sekali gus Garrido mengharapkan anak buahnya tidak mengulangi 'perangai' sama ketika menentang Vietnam.

"Ia (beri sepakan penalti) menjadi satu masalah kepada kita. Ini bermakna kita bertahan dan bermain terlalu lama dalam kotak penalti. Sepakan penalti itu (lawan Uzbekistan) sepatutnya boleh dielakkan.

"Jadi ini antara perkara yang perlu kita perbaiki pada aksi kedua nanti," kata Garrido.

Sebagai rekod, kekalahan di tangan Uzbekistan yang juga naib juara edisi lalu menyaksikan Malaysia menghuni tangga tercorot Kumpulan D tanpa sebarang mata.

Vietnam mendahului saingan apabila mengetepikan Uzbekistan dengan jumlah jaringan gol meskipun kedua-duanya terikat dengan tiga mata hasil kemenangan pada aksi pertama berdepan lawan masing-masing.

Selepas berdepan Vietnam, skuad negara akan menentang Kuwait bagi aksi terakhir kumpulan, Selasa ini.

Berita Harian X