Jumaat, 19 April 2024 | 5:46pm
Juan Garrido diharap dapat membentuk pasukan lebih mantap bagi berdepan Vietnam, malam esok. - Foto FB FAM
Juan Garrido diharap dapat membentuk pasukan lebih mantap bagi berdepan Vietnam, malam esok. - Foto FB FAM

Harimau Muda perlu 'lebih garang' berdepan Vietnam

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Juan Garrido dapat membentuk 'Harimau Muda' yang lebih garang untuk berdepan Vietnam, esok.

Aksi kedua Kumpulan D menentang Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, menjadi penentu perjalanan skuad Harimau Malaysia B-23 di pentas Piala Asia B-23 2024.

Ia susulan anak buah Garrido tewas 0-2 kepada Uzbekistan dalam aksi pertama yang berlangsung di gelanggang sama, kelmarin.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui Vietnam bukan pasukan yang mudah untuk dijinakkan meskipun hadir sebagai salah satu wakil dari Asia Tenggara.

Justeru, beliau berkata kelemahan atau kesilapan yang dilakukan ketika berdepan Uzbekistan harus diperbaiki dalam usaha memastikan skuad negara dapat meneruskan persaingan di Piala Asia B-23.

"Saya melihat kedua-dua gol (Uzbekistan) itu berpunca dari kesilapan pemain (Malaysia). Jadi saya harap bagi menghadapi dua lagi aksi, sesuatu dapat dilakukan oleh barisan kejurulatihan.

"Perbaiki kelemahan dan elak melakukan kesilapan mudah bagi memastikan pasukan negara boleh meneruskan saingan atau tampil lebih baik dalam perlawanan akan datang.

"Kita berharap jurulatih dapat mengubah keadaan pasukan untuk beraksi lebih baik menentang Vietnam. Kita tahu Vietnam salah satu pasukan yang kuat.

"Mereka (Vietnam) berjaya kalahkan Kuwait yang mana Kuwait juga bukan pasukan yang mudah. Saya fikir tugas sukar, tetapi harap pasukan negara dapat beri cabaran terbaik dalam baki perlawanan," katanya.

Kekalahan aksi pertama menyaksikan skuad negara berada di tangga tercorot Kumpulan D, manakala Vietnam dan Uzbekistan berkongsi tiga mata untuk menghuni dua kedudukan teratas.

Berita Harian X