Jumaat, 19 April 2024 | 5:11pm
Notis pembatalan aksi persahabatan antara Sabah dan Melaka dalam laman Facebook rasmi Sabah FC. – Foto Sabah FC
Notis pembatalan aksi persahabatan antara Sabah dan Melaka dalam laman Facebook rasmi Sabah FC. – Foto Sabah FC

Aksi persahabatan Sabah-Melaka dibatal

KOTA KINABALU: Perlawanan persahabatan antara Sabah FC dan Melaka FC di Stadium Likas malam esok terpaksa dibatalkan berikutan gangguan operasi penerbangan di ruang udara Sabah.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata perlawanan itu dibatalkan selepas beliau menerima surat makluman mengenai pembatalan jadual penerbangan pasukan Melaka yang menyebabkan mereka tidak dapat berkunjung ke Sabah.

Katanya, dua penerbangan AirAsia ditempah Melaka untuk ke Kota Kinabalu yang sepatutnya berlepas pagi tadi dibatalkan berikutan risiko debu letusan Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia yang menjejaskan operasi penerbangan di ruang udara dan sekitarnya.

"Berikutan itu, Sabah FC memohon maaf dan mengucapkan terima kasih atas sokongan semua peminat bola sepak yang sudah membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan berkenaan.

"Kami berharap letusan Gunung Ruang ini kembali pulih seperti sedia kala dan tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku bagi membolehkan perlawanan persahabatan lain diadakan selepas ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berikutan pembatalan perlawanan persahabatan itu, Sabah FC akan menawarkan dua pilihan kepada mereka yang sudah membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan itu.

Pilihan itu, katanya sama ada memulangkan semula wang pembelian tiket atau menyaksikan perlawanan Piala Sabah Maju Jaya yang akan diadakan akhir bulan ini.

Berita Harian X