Jumaat, 19 April 2024 | 11:09am
Penjaga gol Real Madrid, Andriy Lunin menyelamatkan sepakan penalti pemain Manchester City, Bernardo Silva ketika aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Etihad, Manchester. - Foto AFP
Penjaga gol Real Madrid, Andriy Lunin menyelamatkan sepakan penalti pemain Manchester City, Bernardo Silva ketika aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Etihad, Manchester. - Foto AFP
Penjaga gol Real Madrid, Andriy Lunin menyelamatkan sepakan penalti pemain Manchester City, Mateo Kovacic ketika aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Etihad, Manchester. - Foto AFP
Penjaga gol Real Madrid, Andriy Lunin menyelamatkan sepakan penalti pemain Manchester City, Mateo Kovacic ketika aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Etihad, Manchester. - Foto AFP

Lunin dedah rahsia kejayaan penalti Real

MANCHESTER: Penjaga gol Real Madrid, Andriy Lunin mendedahkan rahsia kemenangan ke atas Manchester City dalam penentuan penalti pada aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Lunin menyelamatkan sepakan penalti Bernardo Silva dan Mateo Kovacic sebelum Antonio Rudiger memastikan kemenangan kelab La Liga itu.

Sebelum itu permainan terikat 1-1 apabila Kevin De Bruyne menyamakan kedudukan selepas Rodrygo membuka jaringan untuk Real.

Menurut Lunin, Real sudah mengenal pasti tiga pemain City yang akan menendang bola ke arah tengah, dan ia ternyata tepat apabila Silva mengambil sepakan tepat ke arahnya.

Kovacic turut menyepak ke arah sama dan Lunin hanya perlu bergerak ke kanan sedikit untuk menafikannya.

"Kami berlatih dengan jurulatih penjaga gol dan dia ragu-ragu terhadap tiga pemain, sama ada mahu kekal di tengah atau tidak," kata Lunin.

Sepakan Luka Modric dinafikan Ederson ketika dia mengambil sepakan pertama Real, tetapi Jude Bellingham, Lucas Vazquez, Nacho dan Rudiger tidak melakukan kesilapan.

Pemain Brazil, Eder Militao tidak mahu mengambil sepakan untuk Real kerana dia percaya rakan senegaranya, Ederson mampu membaca penaltinya.

Peranan Kepa Arrizabalaga, penjaga gol yang terpaksa memberi laluan kepada Lunin beberapa bulan lalu, turut didedahkan.

Kepa membantu menyusun barisan pemain Real yang akan mengambil sepakan penalti ketika masa tambahan menuju ke penghujung.

Kepa turut berkongsi pandangan dengan Lunin sebelum penentuan penalti bermula.

Kepa mempunyai pengalaman berdepan City dalam penentuan penalti ketika mewakili Chelsea pada final Piala Liga, yang menyaksikan dia enggan ditukarkan oleh pengendali, Maurizio Sarri dengan Willy Caballero di akhir masa tambahan.

Walaupun Kepa berjaya menyelamatkan sepakan Leroy Sane, City menang 4-3, tetapi kali ini nasihatnya membuahkan hasil buat Real.

Rudiger turut membantu Lunin dengan memberitahu penjaga gol itu arah sepakan Kovacic.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti akan berdepan Bayern Munich pada aksi separuh akhir selepas gergasi Jerman itu menewaskan Arsenal 3-2 secara agregat. - AGENSI

Berita Harian X